rocketfuel

WAH! Kemeriahan Syawal yang bakal menjelma kurang dari dua minggu makin terasa apabila nama-nama besar industri muzik tanah air, Masya Masyitah, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Usop dan Ruffedge bergabung suara dalam single Raya terbaharu ciptaan komposer legenda negara, saudara S. Atan dan Siso Kopratasa berjudul Aidilfitri Lembaran Baru yang diterbitkan oleh Rocketfuel Records.

Menurut Syamel, lagu raya ini mengisahkan tentang suasana persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba dalam keadaan norma baharu, namun masih mengekalkan mood keceriaan dengan semangat beraya yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Ia juga sebagai iktibar tatkala dunia diduga dengan pandemik Covid-19, maka jadikanlah ia sebagai pemangkin semangat untuk mengharunginya dengan membuka lembaran baru dalam kehidupan,” katanya.

Sementara itu Azan daripada kumpulan Ruffedge bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik untuk beribadah dengan sempurna di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

“Alhamdulillah kerana pengalaman dulu banyak mengajar kita bagaimana beraya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tak banyak persiapan yang dilakukan kami sekumpulan, cuma mengambil kira hal anak-anak yang masih ingin menyambut Aidilfitri dengan meriah, Raya kali ini lebih kepada media sosial berbanding bersosial dari rumah ke rumah,” ulasnya.

Dalam pada itu, Masya yang merupakan anak jati Kedah meluahakn kesedihan kerana sambutan Hari Raya kali ini tidak dapat pulang ke kampung halaman memandangkan masih tidak dibenarkan merentas negeri.

“Saya sedih sebenarnya tak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga, namun begitu hidup perlu diteruskan juga. Saya akan hiaskan rumah dengan lampu-lampu raya yang merupakan tradisi kami sekeluarga bagi mendapatkan ‘feel’ raya tersebut, disamping membeli kuih-kuih raya yang bakal dihidangkan pada Aidilfitri nanti,” ungkapnya.

Bagi Usop pula, dia hanya menyambut kedatangan Syawal pada tahun ini dengan cara bersederhana kerana tidak mahu berlakunya pembaziran.

“Raya pada tahun ini bakal disambut dalam kesederhanaan dengan persiapan yang biasa-biasa saja, ibu Usop akan memasak juadah kegemaran kami sekeluarga. Cuma sedikit terkilan kerana tak dapat pulang ke Kedah untuk melawat sanak-saudara di sana,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tetap Aku Cinta iaitu Ara memberitahu, sudah masuk tahun kedua dia tidak pulang ke desa tercinta memandangkan terpaksa mematuhi arahan kerajaan yang tidak membenarkan aktiviti merentas negeri bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Sudah dua tahun Ara tak beraya dengan keluarga. Demi keselamatan semua, Ara sanggup korbankan raya pada kali ini…tak banyak yang Ara peruntukkan untuk raya, cuma ala kadar saja sebab menyambut Syawal seorang diri,” luahnya.

Ernie berharap single Aidilfitri Lembaran Baharu yang dinyanyikan bersama artis rakaman Rocketfuel dapat diterima baik oleh pendengar dan pengikut muzik tempatan.

“Saya mewakili suami serta artis-artis Rocketfuel yang terlibat, semoga semua pendengar akan terhibur dan bergembira dengan lagu Aidilfitri Lembaran Baru kerana lagu ini mempunyai melodi seperti lagu-lagu raya lama yang nostalgik. Ia dapat mengimbau kenangan dulu serta kedengaran evergreen,’ katanya.

Aidilfitri Lembaran Baru boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.