Manusia lakukan kerosakan kecuali

Demi masa (1), Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian (2), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran (3)

Berkata Imam Syafie, “seandainya manusia merenungkan surah al-Asr ini, maka surah ini akan mencukupi untuk mereka.”

Mengapa Imam Syafie menyatakan demikian, sedangkan surah ini hanya mengandungi tiga ayat sahaja?

Hakikatnya, surah yang diturunkan di Mekah ini mempunyai maksud yang begitu jelas dalam membentuk kehidupan manusia bagi meraih kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Kerana itulah, ia dikatakan melengkapi keseluruhan hidup manusia. Bukankah masa itu saling berkait dengan kehidupan manusia?

Jika kita lihat di ayat pertama, al-Asr didefinasikan sebagai masa, waktu atau zaman. Secara zahirnya, ia menunjukkan segala perlakuan manusia, samada perbuatan yang baik atau buruk sepanjang hari, bulan, tahun atau juga sepanjang hidup.

Dan Allah S.W.T. juga telah bersumpah bahawa, manusia itu akan benar-benar terjerumus dalam kerugian dan kerosakan, selama mana mereka hidup di dunia, kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan kebajikan amal soleh.

Demi masa. Manusia sering kerugian

Maka jelaslah dalam ayat ini, Allah S.W.T. telah mengecualikan orang-orang yang tunduk, dan patuh keimanannya kepada Allah sepenuh hati, dan beramal soleh dengan seluruh anggota tubuhnya, dari tergolong di kalangan manusia yang mengalami kerugian dan yang membuat kerosakan.

Kemudian Allah S.W.T. menambah lagi dengan berfirman “nasihat-menasihati untuk kebenaran.”

Ia membawa maksud saling memberi nasihat, untuk melaksanakan ketaatan kepada Nya dan meninggalkan segala hal yang dilarang Nya.

Akhir sekali, Allah S.W.T. juga turut berfirman supaya “saling menasihati di dalam kesabaran.”

Kita sedia maklum, manusia apabila ditimpa dengan musibah dan bala’ bencana, pastinya mereka akan lemah imannya. Maka di sinilah perlunya setiap manusia saling menasihati, supaya bersabar atas segala musibah dan takdir, serta gangguan dari orang yang menyakiti.

Menurut Ibnu Kathir, orang yang menyakiti ini adalah orang yang diajak untuk berbuat baik dan orang yang dilarang berbuat kemungkaran.

Doa penutup majlis

Sudah menjadi satu kelaziman juga, apabila selesai sesebuah pertemuan sesama jamaah muslim, samada dalam usrah, mesyuarat, kelas pengajian atau apa sahaja, pastinya akan kedengaran ketua mengakhiri perjumpaan tersebut dengan bacaan Tasbih Kafarah dan surah al-A’sr. Seolahnya, itu menjadi satu kemestian dalam mengakhiri sebuah pertemuan.

Mengapa surah al-A’sr yang menjadi pilihan, sedangkan terdapat 114 surah lagi yang boleh dibaca, dan 6666 ayat al-Quran lagi, yang boleh diiringkan dalam mengakhiri pertemuan tersebut?   

Jika kita rujuk di dalam Tafsir Ibnu Kathir, at-Tabrani telah meriwayatkan, dari Abdullah bin Hafsh Abu Madinah berkata,

““Apabila dua orang sahabat Rasulullah s.a.w. bertemu, maka sebelum berpisah, salah seorang di antara kedua orang tersebut, membacakan surah al-A’sr sampai akhir untuk yang lain. Kemudian salah seorang di antara kedua orang tersebut, memberi salam kepada yang lain.”

Tindakan ini bagi mengingatkan sesama mereka, tentang keperluan menjaga masa dan kewajipan melaksanakan amal makruf nahi mungkar, supaya tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Terdapat satu kisah yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. berkaitan dengan surah al-A’sr ini.

Amr bin al-A’sh pernah diutus kepada Musailamah al-Kadzab iaitu salah seorang kufur yang mengaku sebagai nabi. Hal itu terjadi setelah Rasulullah s.a.w. diutus sebagai rasul dan Amr belum lagi bergelar muslim.

Lalu Musailamah bertanya kepada Amr, “Apa yang telah diturunkan kepada Sahabatmu selama ini? Lalu, Amr menjawab, “Sungguh telah diturunkan kepadanya surah yang pendek tapi padat.”

Musailamah bertanya lagi, “Surah apa itu?” Lalu Amr menjawab, “iaitu surah al-A’sr” dan dia pun membaca surah tersebut hingga akhir.

Musailamah berfikir sejenak, kemudian berkata, “Telah diturunkan juga kepada ku surah tersebut.” Maka Amr pun bertanya kepadanya, “apakah surah itu?”

Musailamah adalah seorang yang dimurka kerana mengaku nabi terakhir dan suka mempersenda Baginda s.a.w.

Musailamah berkata, “Hai Wabr. Hai Wabr. Sungguh kamu hanyalah dua telinga dan dada. Dan jenismu gemar membuat lubang galian.”

Kemudian Musailamah bertanya, “bagaimana pendapatmu hai Amr?” Jawab Amr kepada Musailamah, “Demi Allah, kamu pasti mengetahui bahawa aku yakin sesungguhnya kamu berdusta.”

Tujuan Musailamah adalah untuk menandingi dan menyaingi surah al-A’sr yang diturunkan oleh Allah, namun hal itu tidak laku dan berjaya.

Bahkan di kalangan para penyembah berhala sekalipun, mereka tetap merasakan Kalamullah itu lebih hebat prosa ayatnya dan mendalam maksudnya dari syair yang cuba dicipta oleh Musailamah.

Ini jelas menunjukkan bahawa, sememangnya ayat al-Quran itu tetap kekal dan tiada yang dapat menandinginya sehinggalah hari kiamat. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram