Kerajaan nilai semula pelaksanaan PKP – Muhyiddin

0
192
Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri yang mengalami peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak. Gambar ABD RAZAK AID

KERAJAAN akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang mengalami peningkatan kes-kes positif COVID-19 secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula itu penting bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan yang diambil adalah berkesan bagi membendung penularan COVID-19.

Pada masa sama, kata Muhyiddin, kerajaan telah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19.

Muhyiddin Yassin

Menurut Perdana Menteri, premis-premis berkenaan akan diarah tutup jika dikesan telah dilawai oleh sejumlah besar mereka yang positif COVID-19.

“Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 secara bersasar.

“Melalui sistem ini, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi.

“Saya menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan COVID-19,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: PKP 5 daerah di Kedah, PKPD beberapa lokasi Sabah & Sarawak

Rentas negeri tidak dibenarkan, Ismail Sabri akui keputusan ini tak disukai rakyat

Kerajaan pada Selasa lalu mengekalkan status PKP di 10 daerah di Kelantan ekoran peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri tersebut.

Lima negeri lain iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak pula dikekalkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

Status Sabah pula ditukarkan daripada PKP Pemulihan (PKPP) kepada PKPB kerana peningkatan zon merah dan pengurangan zon hijau selain PKP Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di kebanyakan lokaliti.

Selain itu, status sembilan negeri iaitu Perlis, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan, Kedah (kecuali lima daerah dikenakan PKP) dan Negeri Sembilan (kecuali PKPB di Seremban dikekalkan kepada PKPP.

Pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP bagi setiap negeri itu berkuat kuasa Khamis lalu sehingga 17 Mei ini kecuali Sarawak yang bermula Selasa lalu hingga 17 Mei.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram