10 tahun kemudian, mereka bertemu lagi…

0
123

Ada sekumpulan sahabat lelaki yang berkawan sejak zaman sekolah. Semasa berusia 30 tahun, mereka berjanji akan berjumpa semula ketika usia mereka 40 tahun.

Sepuluh tahun kemudian, genap usia mereka 40 tahun. Setelah berbincang, mereka sepakat bertemu di Restoran Riang Ria. Mengapa mereka memilih restoran itu? Sebab pelayan wanitanya muda-muda dan cantik.

Sepuluh tahun kemudian, semasa berusia 50 tahun, mereka merancang pertemuan yang sama. Kali ini, mereka sepakat memilih Restoran Riang Ria juga. Alasan mereka kerana makanan di restoran itu enak dan menepati cita rasa serta banyak pilihan minuman.

Sepuluh tahun kemudian, mereka merancang bertemu lagi untuk meraikan usia yang sudah menjengah 60 tahun. Mereka berbincang dan setuju bertemu di Restoran Riang Ria lagi. Alasannya, keadaan di situ lebih tenang untuk mereka makan dan lebih penting, restoran itu bebas asap rokok.

Sepuluh tahun kemudian, mereka bertemu lagi untuk meraikan usia yang sudah menjengah 70 tahun. Masih sama, mereka bertemu di Restoran Riang Ria kerana di situ ada menyediakan khidmat kerusi roda, malah juga mempunyai lif untuk naik ke tingkat atas.

Sepuluh tahun kemudian, sewaktu usia mereka mencecah 80 tahun, mereka merancang bertemu lagi dan berbincang di mana lokasi pertemuan tersebut.

Akhirnya mereka sepakat memilih Restoran Riang Ria kerana mereka belum pernah lagi menjejakkan kaki ke restoran itu. Mereka dengar cerita orang bahawa restoran itu bagus, banyak pilihan makanan dan kemudahan untuk warga emas.

** Anda faham tak kisah di atas? Sebenarnya, cerita itu hanya sekadar analogi. Ia bukan fasal Restoran Riang Ria yang masih wujud berpuluh tahun. Tetapi bagaimana faktor usia akan membuat pandangan kita turut berubah dan melihatnya dari sudut berbeza, termasuk juga kerana diserang penyakit lupa setelah dimamah usia. He he he…

________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.