345 di ICU, kes aktif COVID-19 kini lepasi angka 30,000

0
226

SUATU ketika, ramai optimis kes aktif COVID-19 untuk gelombang ketiga mampu turun sehingga berada di bawah paras 10,000 kes.

Ini apabila kes sembuh terus mencatatkan angka yang lebih tinggi berbanding kes baharu.

Namun, sejak dua minggu lalu, harapan tersebut makin samar apabila penularan baharu yang dilaporkan terus melebihi angka kes discaj.

Akhirnya, hari ini kes aktif yang sedang dirawat di seluruh fasiliti kesihatan di seluruh negara kini melepasi angka 30,000 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini apabila kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini berjumlah 3,418 penularan manakala kes discaj pula sebanyak 2,698 kes.

“Keseluruhan kes aktif kini berjumlah 30,339,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau.

Bilangan pesakit COVID-19 yang tinggi ketika ini juga diketengahkan Noor Hisham dalam beberapa hantaran di media sosial beliau hari ini.

345 di ICU hari ini dengan katil wad ICU di enam hospital di Lembah Klang hampir penuh sepenuhnya berikutan peningkatan jumlah pesakit COVID-19./ Gambar dikongsi FB KP Kesihatan

Baca artikel berkaitan: Katil ICU COVID-19 hampir penuh, pembedahan elektif dikurang

Ini termasuk suasana terkini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh yang dipenuhi pesakit COVID-19.

Malah kata Noor Hisham, penggunaan katil di wad kritikal dan ICU di enam hospital di Lembah Klang kini berada pada tahap 90 peratus secara puratanya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, seramai 345 pesakit COVID-19 kini dirawat di ICU manakala 175 pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, hari ini juga menyaksikan 12 lagi kematian dilaporkan dan ini menjadikan kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,533.

Mengenai perincian 3,418 kes baharu hari ini, Noor Hisham berkata, Selangor, Sarawak dan Kelantan terus menjadi tiga negeri tertinggi mencatatkan penularan COVID-19 hari ini.

Katanya, Selangor mendahului dengan 1,200 kes baharu diikuyi Sarawak (587 kes) dan Kelantan (400 kes).

Pada masa sama enam lagi negeri turut mencatkan kes harian sebanyak tiga angka hari ini termasuk Terengganu yang mencatatkan lonjak kes ketara kepada 184 kes.

Johor mencatatkan 213 kes, Kuala Lumpur (198 kes), Pulau Pinang (145 kes), Sabah (115 kes) dan Kedah (101 kes).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram