Benarkah di setiap titisan hujan, tersembunyi rahmat Allah? Ikuti penjelasannya

0
145
Titisan hujan tersembunyi rahmat

Tika ini, setiap petang pasti hujan turun, walau sebelumnya panas menyengat. Kadang-kadang turunnya renyai-renyai, kadang-kadang lebat, ada juga diiringi angin dan ribut. Sesungguhnya titisan hujan membawa 1001 rahsia.

Hujan merupakan salah satu nikmat pemberian Allah yang sangat besar. Sebagai manusia, kita haruslah bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan. Setiap udara yang disedut, setiap suap makanan yang dimakan, setiap titisan air yang diminum, semuanya adalah nikmat kurniaan Allah S.W.T. yang harus disyukuri.

“Firman Allah surah Ibrahim:7 “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras.”

Dikatakan antara waktu mustajab untuk berdoa ialah di saat hujan turun.  Imam An-Nawawi berkata, penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim.

Rasulullah s.a.w juga ada bersabda,

Carilah terkabulnya doa saat bertemu dua pasukan, saat solat didirikan dan saat turun hujan.”

Lalu mengapa kita harus melepaskan peluang untuk berdoa di saat pintu-pintu langit sedang terbuka?

Hujan sering dianggap bencana sedangkan ia memberi berbagai manfaat kepada makhluk dan hidupan ciptaan Allah. Di antara manfaat turunnya hujan ialah sebab adanya rezeki.

Dalam surah al-Baqarah: 22 Allah berfirman,

“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”.

Amalan Ketika Hujan

Air yang turun dari langit dipenuhi keberkatan dan banyaknya kebaikan.

Dan Kami turunkan air dari langit yang penuh keberkatan lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.” Surah Qaaf: 9.

Berdoalah saat hujan turun, itu waktu mustajab

Terdapat amalan-amalan yang dianjurkan Islam ketika hujan turun. Antaranya memanjatkan doa tanda syukur kepada Allah seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

“Ya Allah, turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.”

Anjuran untuk berdoa supaya kebaikan dan keberkatan semakin bertambah, begitu juga dengan manfaat yang semakin banyak. Di samping itu, terdapat  hujan yang membawa musibah dan bencana. Sebab itu, kita berdoa hanya untuk mendapat hujan yang bermanfaat.

Setiap  kali turunnya hujan,  ia membawa bersamanya rahmat baru untuk manusia. Kerana itu, Baginda mengambil barakah dari hujan tersebut. Anas bin Malik r.a berkata,

“Kami pernah kehujanan bersama Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah menyingkap bajunya hingga tersiram hujan. Kemudian kami mengatakan, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, “Kerana hujan ini baru saja Allah ciptakan.”

Peringatan Dari Allah 

Aishah r.a meriwayatkan apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Rasulullah s.a.w. Wajah Baginda akan menjadi pucat. Baginda akan keluar masuk dalam keadaan resah sambil berdoa,

“Ya Allah, aku memohon daripada Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada di dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirimkan dengannya dan aku berlindung dengan Mu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang Engkau kirim dengannya”

Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Rasulullah s.a.w. Aishah r.a bertanya,

“Wahai Rasulullah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda hujan akan turun, sebaliknya anda kelihatan gelisah.”

Baginda bersabda, “Wahai Aishah, adakah aku boleh merasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu?

Kaum Ad telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, “ Awan itu akan membawa hujan kepada kami.”. Sedangkan dalam angin itu ada azab.”

Baginda mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah nabi-nabi terdahulu seperti yang  berlaku pada kaum Nabi Luth dan Nabi Nuh yang dilaknat oleh Allah. Itu juga merupakan tanda-tanda orang yang beriman kepada Allah kerana sedar akan kuasa dan kebesaran Allah berdasarkan kisah ini.

Sesungguhnya, di waktu turunnya hujan, kita tidak boleh terlalu gembira, leka dan alpa. Sebaliknya kita haruslah sedar dan menginsafi diri. Jadikan hujan itu sebagai satu sumber untuk menimbulkan ketakwaan kepada Allah dan berdoalah, yang bermaksud,

Ya Allah! Ya Tuhanku!, turunkanlah hujan di sekelilingku, bukannya untuk memusnahkanku. Ya Allah Ya Tuhanku, turunkanlah hujan ke kawasan yang tinggi (banjaran), gunung-ganang, bukit-bukau, tasik, lembah dan tempat pertumbuhan tanam-tanaman.”

Manakala doa yang boleh dibaca ketika angin kuat yang akan menurunkan hujan, yang bermaksud,

“Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya daku memohon kepada Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya serta kebaikan yang dibawanya. Dan daku berlindung kepada Mu dari  keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya serta keburukan yang dibawanya.”

Justeru apabila hujan turun, gunalah peluang dan nikmat kurniaan Allah itu untuk berdoa. Sesungguhnya kita tidak dapat melawan kuasa Allah dan tidak dapat mengelak hujan dari berlaku. Wallahu a’lam

Artikel Berkaitan: Setiap titisan hujan adalah satu malaikat, Hujan rahmat bertukar bencana,

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram