MALAYSIA merekodkan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India, dengan mutasi berganda iaitu B.1.617.1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ini melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mumbai, India.

“Beliau telah masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April 2021 dan dikesan positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama.

“Kes dikenal pasti dijangkiti varian Indian B.1.617.1 hasil analisis jujukan genom penuh (WGS). Kes telah diasingkan dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India.

“Kita juga melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April 2021 berikutan penularan varian B.1.617.1 yang semakin membimbangkan,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, sebanyak empat lagi kluster dikesan berkaitan pendidikan.

Menurut Noor Hisham, kluster berkenaan dilaporkan di Miri, Sarawak dan tiga di Kedah iaitu di daerah Kuala Muda dan dua di Kulim.

Baca artikel berkaitan: 345 di ICU, kes aktif COVID-19 kini lepasi angka 30,000

“Keseluruhannya terdapat 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

“Selain empat kluster pendidikan, terdapat lima kluster komuniti, serta dua kluster tempat kerja,” katanya.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini pula adalah Kluster Saujana (153 kes), Kluster Sungai Duan (102 kes), dan Kluster Sungai Ranan (33 kes).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram