Seluar jean terakhir untuk Amir

0
297

Tidak lama lagi, Aidilfitri akan menjelma. Kian dekat Syawal, semakin teringat saya kepada Amir. Memori lama kembali menerjah ke dalam fikiran…

Awal bulan Ramadan beberapa tahun yang lalu, adik bongsu saya bernama Amir, menghubungi saya. Saya malas hendak menjawab panggilannya kerana hati saya masih kecewa dan marah dengannya.

Beberapa bulan sebelum itu, Amir mendapat keputusan SPM. Keputusannya mengecewakan. Saya, abah dan ibu sudah beberapa kali menasihati Amir supaya mengambil sekali lagi peperiksaan SPM. Tapi Amir degil tak mahu. Katanya sudah malas bersekolah. Dia mahu bekerja.

Selepas enggan mengikut cadangan kami, Amir pergi ke Kuala Lumpur bersama kawan-kawannya untuk mencari kerja. Katanya, dia mendapat kerja di sebuah hotel.

Waktu itu saya sangat kecewa dan marah. Beberapa kali Amir menghubungi saya tapi tidak saya endahkan panggilannya. Akhirnya hari itu saya jawab juga panggilannya, tetapi dengan nada yang agak dingin.

“Kak, Amir dah balik kampung. Amir rasa nak ambil SPM balik. Boleh kak?” tanya Amir.

Saya terkejut seketika. Mungkin sewaktu dia bekerja di Kuala Lumpur ada sesuatu yang dia belajar menyebabkan pendiriannya berubah. Perasaan marah saya terus padam.

“Boleh Amir. Kakak setuju sangat. Nanti lepas raya kita pergi daftar untuk SPM,” kata saya. Lagi pun saya berada jauh dengan Amir. Amir di Kelantan dan saya bekerja di Johor Bahru.

“Kak, boleh tak kalau Amir nak buat lesen motor? Senang pergi mana-mana,” kata Amir memujuk.

“Kalau kau nak sekolah balik, apa kau minta pun kakak bagi. Janji kau nak belajar,” kata saya lagi.

Memang sebelum ni pun, apa sahaja kehendak Amir selalunya dia akan minta daripada saya. Tidak pernah dia meminta dari dua abangnya sedangkan mereka lagi berjawatan besar berbanding saya.

Lima hari kemudian, Amir sekali lagi menghubungi saya. Kali ini dia meminta saya membelikan sehelai seluar jean pula.

“Nanti akak belikan seluar Levi’s untuk Amir. Hari raya kali ni jatuh pada hari jadi Amir. Kakak ingat tak? Kalau boleh hari raya pertama Amir nak ajak semua kawan-kawan Amir dan saudara mara kita datang rumah. Amir nak sambut hari jadi Amir,” katanya.

Baru saya teringat. Memang tarikh hari raya pertama jatuh pada hari lahir Amir. Saya mengiakan dan berjanji akan membuat sambutan hari lahirnya nanti. Sebelum ini dia tidak pernah meminta begitu. Tapi disebabkan dia mahu belajar kembali, saya turutkan permintaannya.

Boleh dikatakan selepas hari itu, hampir setiap hari Amir menghubungi saya bertanya tentang seluarnya dan juga majlis hari lahirnya. Dia kelihatan begitu teruja. Dia juga bertanya bila saya akan pulang. Katanya tak sabar nak melihat seluar yang saya belikan untuknya.

Tahun itu, saya mendapat cuti lambat dari kebiasaan. Saya mula cuti sehari sebelum hari raya.

Seminggu sebelum raya, saya menghubungi ibu bertanyakan tentang persiapan menyambut hari lahir Amir. Kata ibu, Amir sudah pergi ke rumah saudara-mara kami untuk menjemput mereka datang pada hari raya pertama bagi menyambut hari lahirnya.

“Semua dah siap. Adik kau dah ajak semua orang datang rumah hari raya pertama ni,” beritahu ibu.

Sehari sebelum raya menjelma, selepas sahur saya bertolak pulang ke Kelantan. Sebelum itu awal pagi lagi Amir telah menghubungi saya dan berpesan supaya saya jangan lupa bawa pulang seluar yang dimintanya.

Saya sekali lagi tertawa kecil dengan kelakuan Amir. Keterujaannya macam budak-budak. Bukan sebelum ini tidak pernah sambut raya. Mungkin dia tak sabar disebabkan hari raya tahun ini jatuh pada hari lahirnya.

Lebih kurang jam 5.00 petang, saya sampai di rumah. Waktu itu ibu sedang sibuk menyiapkan makanan berbuka dan juga bahan-bahan untuk dimasak bagi persiapan raya. Ketika itu, Amir tiada di rumah. Kata ibu, Amir memberitahu mahu pergi ke rumah kawannya.

Azan Maghrib sudah berkumandang. Amir belum lagi menampakkan diri. Kami anggap Amir berbuka puasa di rumah kawannya.

Jam 9.00 malam sewaktu saya dan ibu sedang sibuk memasak, saya mendapat panggilan telefon dari abah yang ketika itu berada di masjid.  

“Ina… Amir kemalangan. Cepat siap, kita ke hospital!” beritahu abah.

Waktu itu seluruh tubuh saya terasa lemah. Air mata bercucuran. Kami semua bergegas ke hospital.

Sebaik tiba, doktor mengesahkan Amir telah meninggal dunia. Saya terus terduduk, menangis semahunya. Rupa-rupanya, persiapan yang kami lakukan adalah untuk kenduri tahlil Amir.

Memang benar hari raya tahun itu semua saudara dan kawan-kawan Amir datang ke rumah. Tapi bukan untuk menyambut hari lahirnya, sebaliknya untuk melihat jenazahnya buat kali terakhir.

Walau sudah lebih tujuh tahun Amir pergi meninggalkan kami, namun setiap kali tiba bulan Ramadan, saya akan sebak bila teringat arwah Amir. Apatah lagi bila menatap seluar jeans yang saya belikan dahulu, tapi tidak sempat dipakai Amir.

Rasa sebak itu bertambah pilu di hari terakhir puasa. Sambil menatap kuih raya kesukaan Amir, hati saya selalu berbisik dan berkata…. Selamat hari raya Amir!

  • Kiriman : Roslina Abd Samad.

___________