che ta

SEBELUM ini kisah mengenai pelakon jelita Rozita Che Wan ingin melebarkan sayap dalam bidang nyanyian pernah luas bertebaran beberapa tahun lalu.

Sehinggakan barisan komposer terkenal seperti Hazami, Imran Ajmain dan Eddie Hamid turut dikhabarkan berminat untuk menunaikan impian Rozita atau sinonim disapa sebagai Che Ta ini.

Walau bagaimanapun, sedar akan kemampuan diri, hasrat hatinya itu terpaksa dilupakan kerana dia lebih selesa mengukur baju dibadan sendiri.

Namun, khabarnya Che Ta kini telah muncul dengan sebuah lagu ‘jingle’ bagi sebuah produk kecantikan Mylea.

“Tapi janganlah salah sangka, bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyo sedia ada…ia bukanlah lagu komersial.

“Lagu ciptaan DJ Fuzz itu hanya untuk mempromosikan produk berkenaan yang berdurasi 30 saat.

“Ia berentak santai dan kedengaran seperti ada elemen dangdut. Malah sudah dimainkan di corong radio,” ujarnya yang hanya mengambil masa satu jam untuk merakamkan lagu tersebut.

Menurut wanita berusia 48 tahun itu, pada awalnya dia tidak yakin dan tak sanggup untuk menyanyikan lagu berkenaan.

“Saya pun tak rasa ada vokal yang ‘meletop’ macam penyanyi lain. Tapi disebabkan pengasas produk itu mahu saya menyanyi, saya cabar diri.

“Saya tak anggap ia satu projek serius, jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji mengatakan saya boleh menyanyi tapi saya tak rasa serius untuk menyanyi pun.

“Bahkan saya rasa, yang memuji itu sekadar nak ambil hati saja…dalam erti kata lain ‘bohong sunat.

“Saya sudah biasa dengan segala kecaman negatif tapi itu tak pernah jadi kudis buat diri ini,” ujarnya yang baru sahaja dilantik sebagai duta e-dagang Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

Sementara itu, berbicara tentang perkembangan lain, isteri kepada aktor Zain Saidin itu teruja apabila drama lakonannya menerusi Kiah Pekasam terbitan Zeel Production bakal diangkat ke layar lebar.

“Sudah 11 tahun usia naskhah Kiah Pekasam yang melonjakkan nama saya. Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem akhirnya ia bakal direalisasikan ke filem pula.

“Insya-Allah 8 Mei ini saya akan ke Perlis untuk memulakan penggambaran. Memang produksi nak kejar momen musim mangga harum manis di sana.

“Penggambaran filem itu akan berehat seketika bagi memberi laluan sambutan Lebaran yang dijangka pada 13 Mei nanti.

“Pelakon asal juga akan turut berlakon sama termasuklah suami saya,” jelasnya.

Ketika ini ibu kepada tiga orang cahaya mata itu sedang sibuk menjalani penggambaran drama komedi Assalamualaikum Mustafa bersama pelakon Kazar dan Syazwan Zulkifly yang merupakan terbitan Country Universal Sdn. Bhd.

Ditanya mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, Che Ta seronok apabila dapat mengunjungi bazar untuk membeli juadah berbuka puasa.

“Macam saat melunaskan penggambaran drama Assalamualaikum Mustafa di Kuang, Selangor, saya bersama Feroz Loy (pengarah) dan kru produksi sempat singgah ke bazar Ramadan.

“Malah saya beruntung kerana ada peniaga di bazar memberikan juadah mereka secara percuma. Roti john, murtabak dan kuih-muih antara kesukaan saya.

“Tapi kalau masuk waktu berbuka puasa, saya wajib makan nasi…selera tekak saya memang kena ambil nasi juga,” ungkapnya.