ORANG ramai yang telah membuat tempahan bagi menerima suntikan vaksin AstraZeneca semalam akan mula memperoleh pengesahan kemas kini janji temu hari ini.

Pengesahan janji temu bagi suntikan vaksin AstraZeneca itu akan dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera masing-masing.

Perkara itu disahkan sendiri Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menerusi ciapan dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Kata Khairy, proses itu akan dilakukan secara berperingkat sepanjang hari ini.

“Beberapa individu akan mendapati mereka menerima janji temu AstraZeneca (AZ) di (aplikasi) MySejahtera. Proses ini akan dikeluarkan sepanjang hari.

“Sebarang masalah boleh menghubungi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.

Sebanyak 268,000 slot untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca telah pun habis ditempah dalam tempoh hanya beberapa jam selepas dibuka mulai 12 tengah hari semalam.

Baca artikel berkaitan: Vaksin AztraZeneca habis ditempah selepas tiga jam dibuka

Tempahan itu dibuka di laman web www.vaksincovid.gov.my berdasarkan kepada kaedah first come, first served.

Sebanyak empat pusat pemberian vaksin (PPV) khas telah ditetapkan bagi vaksin AstraZeneca itu iaitu di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela itu dimulakan di Selangor dan Kuala Lumpur mengambil kira peningkatan kes di kedua-dua negeri berkenaan.

Minggu lalu, Khairy mengumumkan vaksin jenis AstraZeneca itu akan ditawarkan secara sukarela menerusi PPV khas mengambil kira kegusaran rakyat berhubung beberapa kes yang tular dalam media sosial.

Ia sekali gus akan menjadikan pelalian keluaran United Kingdom itu tidak akan digunakan dalam PICK dengan program tersebut ketika ini hanya menggunapakai Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Program itu akan mula dibuka di negeri lain selepas dos tambahan vaksin AstraZeneca tiba di negara ini tidak lama lagi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram