Siapa sangka filem The Truman Show menjadi realiti…

0
203
Allah Maha Melihat Segalanya

Dalam filem The Truman Show, pengarah filem tersebut, Peter Weir memberi gambaran kepada kita bahawa ke mana sahaja kita pergi, kita boleh diperhatikan melalui kamera tersembunyi yang boleh didapati di mana-mana sahaja.

Ketika kali pertama menonton filem tersebut, saya beranggapan imaginasi pengarah filem tersebut tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Saya berfikiran sebegitu kerana pengetahuan saya dan masyarakat umumnya tentang Internet sebagai alat komunikasi belum begitu meluas lagi pada ketika itu.

Namun, setelah saya mula mengenali aplikasi Yahoo Mesengger (YM) bersama kamera web, dan yang terkini laman web sosial yang paling popular, Facebook, barulah saya mula memikirkan kerelevanan imaginasi pengarah filem The Truman Show tersebut untuk direalisasikan dalam kehidupan zaman moden kini.

Siapa sangka filem The Truman Show menjadi realiti kini

Jadi, jangan terkejut jika selepas ini anda boleh diperhatikan oleh sesiapa sahaja di mana sahaja anda berada, waimma di dalam bilik tidur anda sekalipun.

Sebelum itu pun, ketika mula-mula menonton filem-filem Hollywood yang berkaitan dengan teknologi hologram, saya berbisik kepada diri saya, apa yang saya lihat dalam filem-filem tersebut hanyalah imaginasi pengarah semata-mata.

Bagi saya yang ketika itu masih muda remaja, mustahil bentuk dan warna sesuatu objek boleh dipancarkan ke arah sudut yang lain tanpa adanya skrin yang boleh menampung bentuk dan warna objek tersebut.

Namun, setelah melihat inovasi yang berlaku dalam teknologi hologram sekarang, termasuk pelbagai jenis prototaip telefon bimbit masa depan yang dilengkapi dengan aplikasi hologram dalam You Tube,  serta kagum dengan kesungguhan Jepun membida penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 dengan janji menawarkan teknologi hologram kepada para peminat bola sepak seluruh dunia, barulah saya menyedari,  bangsa yang kita anggap sebagai penjajah sebelum ini, jauh meninggalkan kita dalam segenap aspek.

Fenomena CCTV

Berbalik pada imaginasi pengarah filem The Truman Show, saya percaya sedikit masa lagi imaginasi tersebut akan mampu direalisasikan.

Melalui teknologi kamera litar tertutup, atau CCTV yang digabungkan dengan kecanggihan dalam dunia siber hari ini, termasuk dalam pembinaan laman-laman web yang seumpama Facebook, kita sebenarnya boleh membina sebuah laman web yang berfungsi sebagai mata yang sentiasa memerhatikan objek-objek yang bergerak di dalam dan sekitar rumah, premis, atau bangunan yang kita diami.

Caranya begini. Pasang CCTV pada sudut-sudut strategik di rumah kita, termasuk di sekeliling rumah. Mungkin tandas, bilik tidur, dan tempat-tempat yang dianggap sensitif dikecualikan dalam hal ini.

Kemudian, bina sebuah laman web yang boleh menerima visual yang dipancarkan oleh CCTV tersebut. Melalui laman web tersebut, kita boleh memantau aktiviti-aktiviti yang berlaku di dalam dan sekeliling rumah, termasuk jika sekiranya terdapat percubaan penjenayah untuk mencuri masuk ke dalam rumah, atau melakukan sebarang unsur-unsur sabotaj.

Laman web tersebut kemudiannya dinaiktarafkan, termasuk dipertingkatkan kapasiti serta keupayaan sehingga mampu menerima semaksimum mungkin ahli-ahli yang berdaftar.

Seperti juga Facebook, pendaftaran ahli bagi laman web ini adalah secara percuma dan setiap ahli mampu mengakses aplikasi CCTV di premis masing-masing dan juga di premis rakan-rakan siber yang lain jika dibenarkan oleh pemilik akaun CCTV terbabit.

Hal ini membolehkan setiap ahli berkongsi CCTV dan saling memantau keselamatan premis antara satu sama lain.

Selain dari itu, laman web ini juga boleh disambungkan terus kepada semua balai polis yang berdekatan dengan lokasi atau tempat tinggal ahli-ahli yang berdaftar di seluruh dunia.

Dengan aplikasi seperti ini, jika sekiranya terdapat ahli atau rakan siber kepada ahli tersebut yang mengesyaki terdapat aktiviti jenayah sedang berlaku di premis yang sedang dipantau, visual aktiviti tersebut akan segera dihantar kepada balai polis yang berdekatan dengan lokasi kejadian.

Saya percaya, sekiranya imaginasi saya ini boleh direalisasikan pada suatu ketika kelak, tidak mustahil akan berlaku dalam tempoh empat atau lima tahun dari sekarang, sebahagian besar penduduk di seluruh dunia, khususnya yang berkemampuan memasang dan menyelenggarakan CCTV di premis masing-masing. 

Walaupun laman web yang dicadangkan membenarkan pendaftaran ahli secara percuma, namun pemilik laman web sebenarnya masih mampu meraih keuntungan yang berlipat kali ganda melalui ruangan iklan yang disediakan, dan juga melalui perjanjian persefahaman dengan kontraktor pembekal dan penyelenggara CCTV.

Hasilnya, seluruh dunia, tidak kira sama ada di negara-negara maju, membangun, atau miskin sekalipun, CCTV akan menjadi fenomena suatu hari nanti, sebagaimana fenomena yang dicetuskan oleh telefon bimbit sekarang ini.

Mampukah membanteras jenayah?

Namun, walau secanggih mana pun teknologi CCTV yang digabungkan dengan kepakaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), jika modal insan sesebuah negara itu berada pada tahap yang rendah, perlakuan jenayah seumpama mencuri dan merompak sebagaimana yang cuba dibasmi melalui penciptaan laman web itu pastinya akan terus berlaku.

Hal ini terjadi kerana setinggi mana manusia mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi, secanggih itulah juga helah yang akan digunakan oleh para penjenayah yang profesional.

teknologi cctv mampu mengawal jenayah

Oleh itu, ‘mata-mata’ CCTV bukanlah satu-satunya mekanisme dalam menyelesaikan sebahagian masalah yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Sebaliknya, masyarakat perlu diberi kesedaran dan penghayatan, Allah yang telah mengilhamkan manusia untuk mereka cipta CCTV itu sahaja yang Maha Melihat segala sesuatu, sama ada yang zahir mahu pun tersembunyi, termasuk melihat dan mengetahui apa yang ada dan terlintas dalam hati seseorang itu.

Rasanya tidak akan ada seorang pun dalam kalangan kita yang sanggup melakukan jenayah jika kita semua memahami dan menghayati firman Allah dalam surah Fussilat: 40,

“… Apakah orang-orang yang dilemparkan ke dalam neraka lebih baik, atau orang-orang yang datang dengan aman sentosa pada hari kiamat? Buatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu lakukan.”

Begitu juga dengan firman-Nya dalam surah al-Hadid: 4,

… Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya, dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke langit. Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.”

Jika kesedaran ini mampu diterapkan dalam jiwa masyarakat, kita sebenarnya tidak perlu lagi berfikir tentang idea saya di atas. Wallahu a’lam.

Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah, Jabatan Bahasa Moden,Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram