Tiada siapa menyangka, gara-gara LUTUT AYAM lelaki ini memeluk Islam…

0
96
kerana mimpi lutut ayam

Ayam ada lutut ke? Ada! Siapa kata tak ada. Kalau ayam tidak ada lutut masakan boleh ia duduk di atas telurnya untuk mengeram. Tapi di mana duduknya lutut ayam itu? Andainya tidak pasti selepas baca artikel ini carilah ayam dan perhatikan betul-betul lututnya. Di depan atau di belakang?

Itulah gimiknya, cerita tentang lutut ayam. Saja hendak bagi gempak sikit supaya kita lebih prihatin tentang ayam yang selalu dijadikan lauk. Tentang lutut ayam terletak di depan atau belakang? Itu kena cari jawapannya sendiri kerana ia tidak akan dijawab di dalam artikel ini.

Sekarang hendak cerita pula tentang hidayah yang ada hubung kaitnya dengan lutut ayam. Sebelum itu jangan tanya apa kaitannya lutut ayam dengan hidayah. Dua benda yang jauh berbeza tapi sebenarnya ada kena-mengena. Tunggu dulu hingga cerita ini berakhir.

Ada orang yang mendapat hidayah dari pelbagai peristiwa yang berlaku. Namun tidak kurang juga yang disuntik hidayah lewat mimpi yang dialami. Ramai yang mengaku mendapat hidayah setelah mengalami  mimpi didatangi lelaki berjubah mengajar syahadah, wali Allah, berjumpa Rasulullah, mendengar azan, diajarkan beberapa potong ayat al-Quran, tawaf dan bergerak mengikut cahaya diiringi bacaan  ayat al-Quran.

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk

Mimpi bertemu Rasulullah memang benar kerana syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi Muhammad s.a.w walaupun di dalam mimpi. Namun untuk mengesahkan mimpi yang lelaki berjubah dan wali Allah itu benar, ia di luar jangkauan fikiran. Boleh jadi ia benar dan boleh jadi juga ia tipu helah syaitan. Mampukah kita meneka yang mana satu mimpi daripada syaitan dan ilham dari Allah.

Tapi, kenapa setiap kali ditanya pada orang memeluk Islam kebanyakan mengatakan mimpi bertemu lelaki berjubah dan  mengajarnya mengucap.  Adakah jubah itu tandanya Islam? Bagaimana pula kalau bermimpi Tom Cruise memakai jubah dan serban? Apa pilihan anda?

Mimpilah apa saja. Ia tidak salah jika akhirnya nanti anda memilih Islam sebagai pegangan hidup. Alhamdulillah anda memilih jalan yang benar. Ada satu mimpi yang pernah diceritakan oleh F.X Rusharyanto dari Indonesia telah membawanya kepada Islam.

Mimpikan ayam?

Dia bukan bermimpi lelaki berjubah, Wali Songo atau bertemu Rasulullah s.a.w. Tapi mimpinya biasa saja malah boleh membuat orang tersenyum sendiri. Ini cerita yang mengubah pegangan hidupnya.

F.X Rushryanto beria-ia menceritakan mimpinya bertemu dengan ayam yang pandai berkata-kata. Hanya kerana seekor ayam yang pandai bercakap lantas dia memeluk Islam dan bukannya bertemu lelaki berjubah ataupun wali Allah mahupun Rasulullah.

Ya! Ayam, hanya seekor ayam. Apalah yang hebatnya dengan ayam itu? Macam cerita kartun Chicken Little, semua ayam pandai bercakap.

Di dalam mimpi itu si ayam berkata,“bacalah ayat-ayat Allah yang ada pada lututmu.”

“Lutut? Mana ada ayat pada lutut?” bantah F.X Rushryanto.

Cuba kau perhatikan perbezaan antara lutut ayam dengan lutut manusia? Perhatikan betul-betul dan bacalah. Allah ciptakan tempurung lutut manusia cukup sempurna dan diletakan di depan, berbeza dengan lutut ayam yang letaknya di belakang.

Itulah sebabnya Allah tidak perintahkan manusia untuk mengeramkan telur. Tapi, ayam telah diperintahkan oleh Allah untuk mengeramkan telurnya hingga Allah mencipta tubuhnya sesuai dengan tugas yang perlu dilakukan,” ayam itu berhujah.

“Jadi, apa yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia yang memiliki lutut di hadapan?” tanya Rushryanto.

“Allah memerintahkan manusia untuk rukuk dan sujud kepada-Nya. Itulah sebabnya lutut manusia diletakkan di hadapan. Kesempurnaan ciptaan itu, dengan kedudukannya dan susunannya yang betul adalah untuk memudahkan manusia melaksanakan perintah Allah untuk sujud dan rukuk.”

Ayam itu berhujah lantas menerbitkan kesedaran di hati Rushryanto. Selama ini tidak pernah dirasakan apa pentingnya manusia mempunyai lutut di hadapan atau belakang. Bayangkan pula jika lutut manusia letaknya di belakang sama seperti lutut ayam, hendak sujud tentunya sukar.

Allah Maha Sempurna setiap sesuatu yang dijadikan pasti ada hikmahnya sesuai dengan keperluan kehidupan hamba-Nya.   

Itu baru sedikit ilmu Allah yang diketahui, sebenarnya banyak lagi rahsia yang sedang menanti untuk dibongkar tentang ilmu-Nya.

Ditinggalkan cerita ini dengan firman Allah daripada surah Luqman ayat 27,

“Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram