Sebanyak 575 tapak pembinaan di Bangkok yang menempatkan kira-kira 81,000 pekerja mencetuskan 37 kluster Covid-19 sejak Mei lalu.

SEBANYAK 1,660 lokasi berisiko penularan Covid-19 dikenal pasti menerusi sistem amaran awal kluster atau Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) setakat, semalam.

Khairy Jamaluddin

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, angka itu terus meningkat berbanding 1,170 titik panas yang direkod HIDE pada minggu lalu.

Menurutnya, susulan peningkatan penularan Covid-19 di Malaysia, HIDE menggunakan analisis dataraya (big data) dan kecerdasan buatan (artificial inteligence) menerusi pengesanan kontak dan membuat ramalan kemungkinan terjadinya sesuatu kluster.

“Analisis HIDE akan memberikan maklumat penting bagi membolehkan pihak berkuasa termasuklah Kementerian Kesihatan untuk mengambil tindakan awalan (pre-emptive) secara bersasar untuk mengelakkan terjadinya sesuatu kluster daripada lokasi atau hotspot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Khairy berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menyiarkan premis-premis yang tersenarai di bawah HIDE bermula pada 7 Mei 2021 bagi membolehkan pemilik premis dan orang ramai mengambil tindakan wajar bagi mencegah terjadinya kluster berpunca daripada premis tersebut.

Ujarnya, antara tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pemilik premis terlibat termasuklah menjalankan kawalan orang ramai yang lebih ketat serta melakukan ujian saringan secara massa terhadap pekerja. 

“Menerusi data terkumpul, sejumlah 90 peratus penyebaran Covid-19 berlaku di 0.2 peratus premis yang berdaftar menerusi MySejahtera.

“Bagi membolehkan analisis HIDE yang lebih tepat, premis yang masih belum berdaftar menerusi MySejahtera hendaklah berbuat sedemikan pada kadar segera selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini yang mewajibkan imbasan kod QR bagi setiap pengunjung premis.

“Walaupun HIDE merupakan suatu langkah ke hadapan dalam menghadapi pandemik Covid-19, setiap ahli masyarakat serta perniagaan masih tetap perlu mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang merupakan langkah terbaik dalam mencegah penularan pandemik itu,” katanya.