6 daerah di Selangor diletakkan status PKP – Ismail Sabri

0
115
Ismail Sabri Yaakob/ Gambar FB MKN

SELEPAS Kelantan dan lima daerah di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini enam daerah di Selangor turut diletakkan di bawah status PKP susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negeri tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk melaksanakan PKP ke atas enam daripada sembilan daerah dalam negeri Selangor selama 12 hari.

Menurut Ismail Sabri, enam daerah tersebut adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dengan PKP akan mula berkuat kuasa pada 6 hingga 17 Mei ini.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor pula masih berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

“Setelah meneliti pembentangan Kerajaan Negeri Selangor serta merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan data Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), MKN bersetuju untuk melaksanakan PKP ke atas enam daerah tersebut.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan selepas Selangor mencatatkan kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Solat sunat, takbir dan ziarah Aidilfitri dibenarkan

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKP, Ismail Sabri menjelaskan pergerakan merentas negeri dan daerah dalam enam daerah berkenaan adalah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan.

Pada masa sama, beliau berkata, premis makanan seperti restoran, trak makanan, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 12 malam sahaja.

Kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam sama seperti operasi stesen minyak kecuali di lebuhraya yang dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Bazar ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat. Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi mengetahui SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini anda boleh mengakses laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram