8,302 petugas kesihatan kontrak diluluskan pengambilan

0
75
Seramai 8,302 petugas kesihatan kontrak telah dilantik KKM sehingga bulan lalu.

SERAMAI 8,302 petugas kesihatan kontrak telah pun diluluskan Kementerian Kewangan untuk dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga bulan lalu dalam usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, petugas kesihatan itu membabitkan seramai 82 pegawai sains, 4,472 jururawat, 2,249 penolong pegawai perubatan, 666 juruteknologi makmal perubatan, 342 penolong pegawai persekitaran dan 293 juru X-ray diagnostik.

Menurut Dr. Adham, jumlah tersebut termasuk kelulusan Kementerian Kewangan bagi menyambung perkhidmatan sejumlah 200 orang kaunselor yang menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kesihatan mental kepada pelanggan di klinik kesihatan seluruh negara.

Selain itu, kata Dr. Adham, kerajaan juga telah bersetuju meluluskan pelantikan semula sejumlah 3,622 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi untuk tempoh satu tahun lagi dengan kos emolumen sebanyak RM289.69 juta.

“Pembaharuan kontrak akan dimaklumkan kepada pegawai sebelum kontrak sedia ada berakhir.

“KKM juga telah melantik 3,042 orang personel MySTEP bagi membantu tugas-tugas bukan klinikal di seluruh fasiliti kesihatan dan institusi di bawah kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dos kedua AstraZeneca diberi selang 12 minggu – Khairy

Mengulas lanjut, Dr. Adham memaklumkan KKM juga telah melaksanakan mobilisasi dalaman petugas kesihatan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan berdasarkan situasi semasa jangkitan COVID-19 di beberapa buah negeri.

Katanya, ia termasuk pakar perubatan klinikal, pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan, pegawai sains, penolong pegawai perubatan, jururawat dan juru X-ray diagnostik.

Selain itu, mobilisasi dalaman itu turut melibatkan penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan, pembantu tadbir (kewangan) dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi).

Beliau berkata, sejumlah 648 petugas kesihatan telah dimobilisasi ke Sarawak manakala 366 lagi dihantar ke Kelantan mulai 26 April lalu.

“Inisiatif seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan kritikal di negeri-negeri tertentu di samping memastikan keperluan sedia ada di negeri lain tidak terjejas.

“KKM berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan dalam usaha kerajaan menangani penularan pandemik wabak COVID-19 di negara ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram