TERDETIK rasa terharu apabila mendengar khabar rakan lama saya, Manaf terlantar di rumah. Menurut orang yang menziarahinya, keadaan pemimpin berusia 50-an itu uzur benar. Pak Manaf saya kenal rapat apabila kami sama-sama aktif dalam pelbagai aktiviti masyarakat setempat. Sejak memegang jawatan ketua, kami sering ke sana, ke mari bersama.

Baru berkira-kira mahu menziarahinya, saya mendapat berita mengatakan Pak Manaf telah kembali ke rahmatullah. Saya segera ke rumahnya. Ketibaan saya disambut ahli keluarga yang kebanyakan sedang meratapi pemergiannya.

Agak lama berada di situ, saya mula hairan kenapa tidak ramai  penduduk kampung yang datang berziarah? Mustahil mereka tidak tahu. Sedangkan saya, dari kampung sebelah pun dapat maklumat awal.

Sepatutnya sebagai pemimpin setempat, tentu berduyun-duyun orang datang. Sebaliknya, yang kelihatan cuma saudara-mara terdekat. Orang-orang kuat Pak Manaf yang dulu intim dengannya belum nampak batang hidung.

Agaknya itulah resam orang politik, bisik saya. Ketika ada pangkat dan kuasa, teman keliling pinggang. Apabila semua itu hilang, kawan pun tak kenal.

Bagaimanapun syukurlah, dengan pertolongan sekerat dua orang penduduk kampung,  terutama saudara terdekat, jenazah Pak Manaf sempurna dikafankan.

Mengikut rancangan, jenazah akan dikebumikan selepas sembahyang Zuhur.

Tiba-tiba suasana sedikit kelam kabut. Dari cakap-cakap ahli keluarga Pak Manaf,  rupa-rupanya kubur masih belum digali kerana penggali kubur tidak  ada. Dengar khabar,  jawatankuasa masjid tidak beri pelepasan.

Gambar sekadar hiasan.

Ahli keluarga Pak Manaf mula resah. Datang seorang waris lagi mengatakan, dia sudah merayu, tetapi orang masjid tetap enggan bekerjasama. Sedih hati saya mendengarnya. Bagaimana jawatankuasa masjid boleh bertindak begitu? Ketika itu saya mula merasakan seolah-olah ada sesuatu yang membuatkan  arwah Pak Manaf dibenci begitu sekali.

Jika tidak, masakan mereka  sanggup  bertindak sedemikian. Bukankah kebanyakan mereka tahu hukum-hakam? Waris Pak Manaf berkejar ke kampung sebelah untuk minta kebenaran mengebumikan arwah di sana.

Malang juga,  tiada seorang pun jawatankuasa masjid yang dapat ditemui. Pak imam ke bandar, bilal pergi Kuala Lumpur, yang lain terlibat dengan pelbagai hal. Tiada siapa berani membuat keputusan.

Anggota keluarga Pak Manaf terus buntu. Malah ada yang menitiskan airmata. Hari beranjak petang, jenazah masih terlantar di ruang tamu.

Mahu tidak mahu, waris arwah terpaksa pula menebalkan muka meminta kebenaran dari kampung ketiga. Malang sekali, jenazah tetap dihalang daripada dikebumikan  atas alasan arwah tidak bermukim di kampung  tersebut. Lagi pun tanah kubur sudah hampir penuh, nanti orang kampung berkenaan pula yang tidak cukup liang. Peraturan tidak memilih bulu, biar pun Pak Manaf orang disegani.

Dengan penuh kecewa, waris Pak Manaf berkejar ke kampung keempat yang agak jauh dari situ. Itulah peluang terakhir memandangkan masa semakin suntuk. Kebetulan setiba di kampung itu, para jemaah di masjid selesai solat Asar. Tergesa-gesa waris Pak Manaf bersalaman dengan  tuan imam dan para jemaah lalu menjelaskan  hajatnya.

“Tolonglah pak imam, hari dah petang, tapi jenazah sejak pagi tadi lagi tak dapat ditanam,” cerita waris Pak Manaf  penuh simpati.

Oleh kerana simpati dan memikirkan tugas menyempurnakan jenazah adalah fardu kifayah,  imam membenarkan. Nasib baik penggali kubur masih berada di masjid. Beberapa orang ahli keluarga Pak Manaf sama-sama membantu hinggalah selesai kubur digali.

Ketika hari semakin senja barulah jenazah Pak Manaf diusung beramai-ramai ke kampung berkenaan. Walaupun jaraknya agak jauh tapi hanya tanah di situ yang sanggup  menerima jenazah arwah.

Selesai upacara pengebumian, azan Maghrib berkumandang penuh syahdu.  Semoga Allah mengampunkan segala dosa Pak Manaf dan rohnya dicucuri rahmat.

Apa yang mengharukan saya, jenazah Pak Manaf tidak dapat disemadikan di tanah perkuburan kampungnya sendiri. Anak cucu jika nak berziarah terpaksa pergi ke kuburnya yang terletak di kampung lain.

Itu bukan persoalan, kerana walau di mana sekali pun kita dikuburkan, tiada bezanya. Cuma apa yang saya fikirkan ialah kenapa jenazah Pak Manaf terseksa begitu? Sedia kita maklum, tindakan menghalang liang digali hingga menyebabkan jenazah lewat dikebumikan jelas salah daripada segi agama.

Namun apabila difikir-fikirkankan, serta cakap-cakap yang didengar, kejadian itu berpunca daripada perlakuan Pak Manaf semasa  hayatnya. Khabarnya sebagai pemimpin bepengaruh, Pak Manaf  mengidamkan jawatan yang lebih tinggi dalam politik setempat.

Didorong keinginan yang amat sangat, Pak Manaf pernah mengumpul orang-orangnya.  Satu demi satu pemimpin kecil yang dirasakan menjadi penghalang cita-citanya dicantas. Seteru politiknya jangan dikira, dicincang habis-habisan. Pak Manaf juga sanggup menyerang bertubi-tubi peribadi orang yang tidak disukainya. 

Jika ada yang menasihatkannya,  mereka turut menerima padah. Setiap kali pemilihan, Pak Manaf galak menyusun jentera jahatnya untuk menguasai perwakilan. Dia mula menguar-uarkan kehebatan, kekayaan dan jasa-jasa yang dicurahkannya. 

Pak Manaf tidak takut menabur wang, asalkan hajatnya tercapai. Juak-juaknya berada di mana-mana dan mereka ini akan melaporkan setiap perkembangan.

Kalau didengar ada yang berura-ura mahu menentangnya,  malanglah nasib orang itu. 

Cara yang dilakukan itu memang berhasil. Pak Manaf dapat menjadi pemimpin yang lebih besar, tetapi hati penduduk kampung banyak yang berdarah. Pak Manaf nampak hebat. Dia mendapat sanjungan di mana-mana, tetapi di mata penduduk kampung dia tidak dihiraukan.

Mereka yang berasa teraniaya kerana perbuatannya, memendam rasa.  Pak Manaf terlantar pun tiada orang kampung yang peduli, sehingga dia  meninggal, jenazahnya dipulaukan. 

  • Diceritakan oleh Mohd. Said Dhal