MULANYA disangkakan satu lagi video tular insiden pergaduhan antara pelanggan dan penghantar makanan.

Bagaimanapun, individu dalam video itu bukan orang biasa tetapi seorang pelawak popular.

Dalam video itu, Lan Pet Pet dilihat memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan.

Rakaman video itu menarik perhatian netizen selepas tular di media sosial sejak malam tadi.

Video yang dirakam pengguna jalan raya itu menyaksikan pelawak itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.

Dalam masa sama, Lan Pet Pet atau Mazlan Ahmad, 51, turut ditenangkan oleh tiga lagi lelaki daripada terus memukul lelaki itu dalam kejadian yang berlaku di tepi jalan raya itu.

Lan kemudian menjerkah lelaki itu dengan kata-kata berbaur amaran, ‘hang duduk Tropicana nak tunjuk samseng kat aku. Hang tau dak aku sapa?’

Ketika ini belum dapat dipastikan lokasi dan tarikh tepat kejadian itu.

Baca artikel berkaitan: Penghantar makanan dihentak penukul, suami pelanggan ditahan

Sementara itu, pelbagai pihak berusaha mendapatkan komen Lan Pet Pet berhubung rakaman video itu.

Sebelum ini, Lan Pet Pet mencetuskan kegemparan ramai apabila memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram