Fasa 2 BPR disalurkan mulai 7 Mei – Tengku Zafrul

0
586
penyelesaian ambank

FASA kedua Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang akan memanfaatkan seramai 8.4 juta penerima akan mula dibayar secara berperingkat mulai Jumaat ini melibatkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merangkumi sebanyak 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas dan 3.8 juta individu bujang.

Menurut Tengku Zafrul, fasa pertama pembayaran BPR telah pun selesai dilaksanakan dari 24 Februari sehingga 1 April lalu dengan peruntukan sebanyak RM1.93 bilion.

Peningkatan jumlah peruntukan dalam fasa kedua, kata Tengku Zafrul adalah disebabkan penambahan kadar bayaran kepada penerima.

“Jika dahulunya penerima daripada kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang memperoleh RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima.

“Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei ini melalui pautan bpr.hasil.gov.my dengan pembayaran kepada isi rumah, warga emas dan individu bujang akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing bermula 7 hingga 12 Mei.

“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula termasuk di Sabah dan Sarawak, pembayaran akan bermula pada 17 Mei depan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan pihak bank akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Negara lain pun guna dana rizab tangani COVID-19 – Tengku Zafrul

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan tempoh permohonan rayuan pula akan dibuka bermula 15 hingga 30 Jun bagi memastikan program BPR itu disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Katanya, proses rayuan itu membolehkan individu yang telah ditolak permohonan diberi peluang mengemukakan rayuan beserta dokumen berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, mengambil kira pembayaran fasa pertama dan kedua BPR, jumlah bantuan kewangan keseluruhan yang telah disalurkan kepada 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion.

“Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) juga telah dibayar mulai 21 Januari lalu.

“Oleh itu, setakat ini, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan merangkumi BPN2.0 dan BPR yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram