Hampir 600,000 lengkapkan dua dos vaksin COVID-19

0
35
adham
Dr Adham Baba

SERAMAI 589,951 individu telah pun melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, seramai 930,059 individu lagi telah pun menerima dos pertama vaksin COVID-19 seluruh negara.

Kata Dr. Adham, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin COVID-19 dalam negara telah mencecah 1.52 juta sehingga semalam.

Bagi dua dos vaksin, Dr. Adham memaklumkan, Selangor terus kekal menjadi penerima tertinggi iaitu melibatkan seramai 78,140 individu.

Beliau berkata, ia diikuti Sarawak iaitu seramai 61,994; Kuala Lumpur (56,722); Johor (54,418) dan Sabah (53,096).

Dr. Adham berkata, Perak menjadi negeri keenam tertinggi iaitu merangkumi 53,005 individu seterusnya Kedah (39,315); Pahang (37,030); Pulau Pinang (35,535) dan Negeri Sembilan (29,675).

“Di Terengganu pula, seramai 27,516 telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 diikuti Kelantan (26,945) dan Melaka 17,061.

“Seramai 9,923 telah melengkapkan dua dos vaksin di Perlis manakala masing-masing seramai 7,337 dan 3,239 di Putrajaya dan Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Vaksinasi sukarela AstraZeneca akan diperluas – Khairy

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Selangor juga menjadi penerima dos pertama vaksin Covid-19 tertinggi iaitu seramai 124,635 individu.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 94,157 di Sarawak; 91,765 di Kuala Lumpur; 84,220 di Johor dan 77,375 di Sabah.

“Bagi jumlah pendaftaran harian PICK pula telah mencecah 9.76 juta setakat semalam atau 40.20 peratus daripada populasi.

“Selangor masih negeri tertinggi yang mendaftar iaitu seramai 2.50 juta diikuti Johor (1.18 juta), Sarawak (1.1 juta) dan Kuala Lumpur (772,624),” jelas beliau.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram