Rawat segera jika alami 5 gejala ini selepas dos AstraZeneca

0
1888

PENERIMA vaksin AstraZeneca perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami lima gejala ini dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas pengambilannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pertama adalah sakit kepala yang teruk dan tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit, malah semakin teruk.

Kedua katanya, sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok manakala gejala ketiga, sakit kepala luar biasa disertai dengan pandangan kabur, loya dan muntah, sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan.

“Keempat, bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau berlaku pendarahan dan gejala kelima, sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut yang berterusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Adham, Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau kejadian darah beku dalam kalangan penerima vaksin AstraZeneca dan memberi jaminan bahawa rawatan segera akan diberikan jika kes tersebut benar-benar berlaku.

Namun demikian katanya, kejadian darah beku sangat jarang berlaku dan
mengambil kira faedahnya dalam mencegah jangkitan COVID-19 adalah
mengatasi risiko daripada pengambilan vaksin.

Tambah Adham, bagi pangamal perubatan yang merawat kes tersebut pula perlulah menyiasat sama ada kes telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.

Baca artikel berkaitan: Dos kedua AstraZeneca diberi selang 12 minggu – Khairy

Vaksin AztraZeneca habis ditempah selepas tiga jam dibuka

“Pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan samada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah.

“Sehubungan dengan itu pemeriksaan-pemeriksan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera,” jelasnya.

Ujar Adham, melalui fasiliti COVAX, KKM akan menerima satu juta lagi dos vaksin AstraZeneca pada hujung Mei ini.

“Keputusan juga telah dibuat bahawa tempoh penerimaan dos pertama vaksin AstraZeneca dan dos kedua adalah selama 12 minggu,” katanya.

Sebanyak 260,000 dos vaksin COVID-19 habis ditempah kurang dari empat jam Ahad lalu berikutan pemberian vaksin jenama itu dilakukan secara sukarela.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram