Solat sunat, takbir dan ziarah Aidilfitri dibenarkan

0
488
Sebahagian daripada jemaah menunaikan solat sunat tarawih di Masjid ar Rahah Kampung Kerinci, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut umat Islam seluruh negara pada 13 Mei ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa keputusan berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dicegah sewajarnya.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara SOP yang telah dipersetujui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk amalan takbir raya dan solat sunat Aidilfitri di masjid serta surau.

Menurut Ismail Sabri, kedua-dua aktiviti itu dibenarkan di kawasan yang dikenakan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Namun begitu, beliau berkata, keputusan itu juga tertakluk kepada ketetapan jabatan agama Islam setiap negeri.

“Saya ingin jelaskan, kadang-kadang ramai agak keliru tentang SOP di masjid. Ramai yang salahkan MKN dan kerajaan Persekutuan tetapi suka saya perjelaskan bahawa kuasa berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah jabatan agama negeri.

“Apa-apa SOP yang dikeluarkan selama ini pun ditentukan oleh negeri masing-masing. Sebagai contoh, hari ini kita benarkan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau tetapi bagi menentukan jumlah kehadiran dan sebagainya terletak di bawah keputusan pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Hanya 2 daripada enam negeri mohon laksana PKP.., semoga ia TIDAK dilaksanakan

Ismail Sabri turut memaklumkan solat sunat Aidilfitri dan takbir raya di masjid serta surau bagaimanapun tidak dibenarkan di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu Sidang Khas MKN turut membenarkan aktiviti ziarah semasa tempoh hari raya tetapi berpandukan kepada beberapa SOP ketat.

Antara SOP tersebut, kata beliau, ziarah hari raya di kawasan PKP hanya dibenarkan pada 1 Syawal dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dan dengan memenuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata, bagi kawasan PKPB dan PKPP pula, aktiviti ziarah dibenarkan selama tiga hari antara 1 hingga 3 Syawal dengan kehadiran bagi kawasan PKPB adalah terhad kepada 20 orang manakala PKPP pula tidak melebihi 25 orang.

Katanya, kawasan PKPD pula tidak dibenarkan menerima kunjungan tetamu daripada luar dengan perayaan disambut bersama keluarga di dalam rumah sahaja.

“Bagi memastikan penularan COVID-19 terkawal, tuan rumah juga digalakkan menyediakan pengimbas suhu badan, Kod QR MySejahtera atau buku kehadiran,” kata beliau.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut memaklumkan penganjuran rumah terbuka sama ada di kawasan PKP, PKPB, PKPP atau PKPD tidak dibenarkan sama sekali.

Bagi ziarah kawasan perkuburan pula, Ismail Sabri memberitahu aktiviti itu hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP sahaja dengan syarat had tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur.

Jelas beliau, orang ramai juga hanya dibenarkan menziarahi kawasan perkuburan tidak melebihi 30 minit sahaja.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram