Tidak salah lompat parti kecuali ada rasuah – Azam Baki

0
1011
RM3.1 juta
AZAM BAKI

MALAYSIA masih belum lagi mempunyai sebuah akta khas bagi menyekat ahli politik daripada melompat parti atas apa juga agenda.

Penggubalan Akta Anti Lompat Parti pernah disuarakan hingga ke Sidang Parlimen dengan kali terakhir isu ini dibincangkan Mac lalu.

Ia dibahaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Akta Anti Lompat Parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menegaskan tindakan ahli politik yang melompat parti itu tidak menjadi kesalahan kecuali jika melibatkan amalan atau unsur rasuah.

Azam berkata, mana-mana pemimpin dan ahli politik bebas melompat parti mengikut pendirian mereka berikutan tiada undang-undang melarang mereka berbuat demikian.

“(Lagi pun) Akta Anti Lompat Parti belum wujud lagi, sebab itu saya tidak mahu komen sangat.

“Ini bukan satu kesalahan dan terdapat juga mereka keluar parti jadi hebat. Bukan satu kesalahan di negara kita,” katanya seperti dilapor portal Astro Awani hari ini.

Baca artikel berkaitan: Takiyuddin suruh IGP lapor polis, ingatkan SPP ada dalam Perlembagaan

IGP ulas lompat parti, SPP dan audio Hamzah Zainudin

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) hari ini.

Azam mengulas pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara Jumaat lalu yang menggesa SPRM menyiasat amalan melompat parti yang berlaku secara berleluasa.

Abdul Hamid mendakwa amalan rasuah dalam arena politik negara berlaku merata-rata termasuk mengugut seolah-olah negara tidak mempunyai undang-undang.

Bagaimanapun, Azam menegaskan SPRM akan menyiasat jika berlakunya amalan rasuah yang menyebabkan ahli politik itu melompat parti.

“Kalau mereka yang kita siasat kebanyakan mereka yang meraih sokongan dan dikatakan membayar wang, itu kita siasat dibawah Akta Pilihan Raya, macam kes Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail baru-baru ini pun kita dah siasat dan tiada kes,” jelas beliau.

Sementara itu, Azam memaklumkan SPRM telah melengkapkan siasatan berhubung isu dakwaan salah guna kuasa dalam Prasarana Berhad (Prasarana) dengan kertas siasatan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dua minggu lalu.

“(Siasatan) kes sudah selesai. Saya hanya menunggu keputusan Peguam Negara sekiranya ada atau tidak pihak yang boleh dituduh membabitkan kes salah guna kuasa iaitu mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kertas siasatan siap dua minggu lalu dan sudah dirujuk kepada Peguam Negara,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram