SEORANG ketua pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembayaran katering pada majlis Hari Raya Aidilfitri di kediamannya berjumlah RM11,350, tujuh tahun lepas.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Noradlina Idris, 43, yang ketika kejadian bekerja di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) didakwa mengemukakan tiga dokumen yang dilampirkan bersama tiga keping invois dari sebuah syarikat katering berjumlah RM850, RM1,500 dan RM9,000, masing-masing bertarikh 13, 14 dan 18 Ogos 2014.

Kesemua dokumen dan invois itu mengandungi butir matan palsu mengenai pembayaran pembekalan makan tengah hari dan petang bagi perjumpaan Yang Berhormat Menteri bersama tetamu pada 13, 14 dan 17 Ogos 2014 di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini, di mana sebenarnya pembayaran itu adalah bagi perkhidmatan katering Majlis Hari Raya di kediaman tertuduh di Bandar Seri Putra, Bangi pada 16 Ogos 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Putrajaya pada Ogos 2014.Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang palsu atau silap, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari SPRM Abdul Muntaqim Abdul Aziz menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali selain tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Noradlina yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan rendah atas alasan dia tidak berkemampuan dan menanggung empat orang anak.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan 4 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram