3,744 kes baharu
3,744 kes baharu dengan Selangor mencatatkan lonjakan kes baharu dengan lebih 1,500 kes.

NAIK balik. Menjelang seminggu sebelum Aidilfitri, kes baharu COVID-19 di seluruh negara terus melonjak.

Jika semalam 3,120 kes, hari ini penularan baharu melonjak kepada 3,744 kes.

Kes hari ini adalah kedua tertinggi dalam tempoh sebylan yang mana tertinggi dicatatkan pada 30 April lalu dengan 3,788 kes.

Penyumbang utama kepada statistik kes hari ini sudah tentu Selangor yang mencatatkan peningkatan ketara iaitu dengan 1,548 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini diikuti Kelantan dengan 480 kes, Sarawak (419 kes), Kuala Lumpur (313 kes) dan Johor (292 kes).

Turut mencatatkan tiga angka kes baharu hari ini ialah Pulau Pinang (195 kes) dan Kedah (124 kes).

Katanya, Perlis pula menjadi negeri terendah mencatatkan pertambahan kes dengan satu kes diikuti Labuan (5 kes), Putrajaya (11 kes) dan Melaka (43 kes).

“Hari ini juga menyaksikan 17 kematian dilaporkan hari ini dengan kesemuanya melibatkan warganegara.

“Kes kematian itu melibatkan sembilan kes di Selangor, masing-masing dua kes di Johor, Perak, dan Sarawak, serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Negeri Sembilan.

“Perkembangan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,591 kes,” katanya menerusi media sosial beliau sebentar tadi.

Baca artikel berkaitan: Lelaki positif COVID-19 lari dari wad, SB turut digerak mencari

17 lagi kematian dilaporkan dan 3,744 kes baharu di seluruh negara.

Sementara itu, tambah Noor Hisham, kes aktif yang dirawat di seluruh negara ketika ini berjumlah 32,939.

Jumlah ini bertambah berbanding semalam apabila kes sembuh yang dilaporkan sekali lagi lebih rendah berbanding kes baharu.

Kes sembuh yang dilaporkan hari ini sebanyak 2,304 kes.

“Daripada jumlah yang dirawat, seramai 328 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rawatan Rapi (ICU).

“Seramai 185 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” ujarnya.

Kata Noor Hisham, terdapat 20 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini .

Ini melibatkan lapan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, empat sektor pendidikan termasuk tiga kluster institusi pendidikan KPM dan dua kluster keagamaan.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini pula adalah Kluster Tok Has (53 kes), Kluster Jalan Padang Tembak (43 kes) dan Kluster Jalan Wau (34 kes),” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram