Pfizer Barang Baik

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan sejak 24 Februari lalu telah pun memasuki Fasa Kedua iaitu melibatkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU).

Pelaksanaan fasa kedua sejak April hingga Ogos depan juga selari dengan permulaan fasa ketiga yang sepatutnya dijadualkan bulan ini sehingga Februari 2022 yang melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta individu atau lebih.

Walau bagaimanapun, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin memaklumkan bekalan vaksin yang dimiliki negara sekarang mungkin tidak mencukupi untuk memulakan fasa ketiga pada bulan ini.

Kata beliau, Malaysia hanya akan menerima bekalan vaksin dengan jumlah lebih besar menjelang bulan hadapan atau Julai.

“Fasa ketiga sepatutnya bermula pada bulan Mei. Saya tak tahu adakah kita mempunyai bekalan mencukupi. Kita akan buat pengumuman mengenai perkara ini dalam kadar segera.

“Fasa dua pula berjalan seperti dirancang dengan semua warga emas sedang menerima janji temu mereka. Cuma bagi program vaksinasi sukarela AstraZeneca ini istimewa kerana kita guna fasa keempat iaitu kawalan wabak sebab kes di Selangor dan Kuala Lumpur terlalu tinggi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: WTCKL bersedia mulakan vaksinasi AstraZeneca esok

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan kerajaan merancang untuk menawarkan vaksin AstraZeneca secara sukarela kepada negeri-negeri yang berada di dalam zon merah akibat jangkitan COVID-19 selepas program vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur bermula hari ini.

Menurut Khairy, perbincangan dan perancangan sedang berjalan untuk memilih negeri yang sesuai untuk membuka pusat pemberian vaksin (PPV) khas bagi vaksin AstraZeneca.

Beliau berkata, lebih banyak PPV khas seperti bagi program sukarela AstraZeneca itu akan dibuka dalam fasa ketiga PICK.

“Ini adalah mungkin PPV mega pertama yang dapat menampung lebih 2,000 janji temu setiap hari. Kita ada perancangan untuk membuka PPV lebih besar dariapda ini apabila bekalan vaksin ktia sampai dengan jumlah lebih besar lagi menjelang bulan Jun dan Julai.

“Bagi AstraZeneca pula, kita akan menerima lebih banyak penghantaran bulan ini iaitu melebihi satu juta dos dengan saya merancang untuk membuka PPV AstraZeneca secara sukarela ini di negeri-negeri lain,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram