kopratasa

Membaharukan sesebuah lagu lama mungkin daripada mata kasar pihak luar ia nampak senang namun sebenarnya proses tersebut agak merumitkan.

Sanggup mengambil risiko, kumpulan Kopratasa menghayut ‘seruan’ bagi memelihara khazanah lagu-lagu hari raya tanah air apabila mereka merakamkan semula lagu Selamat Hari Raya yang dipercayai adalah lagu raya terawal di negara kita berdasarkan sumber yang dipercayai.

Kopratasa berasakan lagu lama mempunyai nilai sejarah tersendiri. Inilah juga terdapat dalam lagu Selamat Hari Raya ciptaan Tengku Ali Basha @ Cik Ara Bangsawan. Lagu ini dipercayai lagu raya pertama untuk umat melayu di Nusantara dan juga dunia amnya.

Dicipta pada tahun 1936, lagu itu telah membuka sejarah pada sambutan hari raya pada zamannya. Kopratasa merasakan adalah sangat rugi jika lagu ini dibiarkan lenyap ditelan zaman.

Berdasarkan kepada perpatah ‘ Yang buruk ( lama ) diperbaharui, Yang usang dikajangi’ .Kopratasa berpendapat, proses merakamkan lagu tersebut merupakan aktiviti melestarikan satu khazanah lama untuk tatapan semula generasi terkini.

Justeru, Kopratasa yang dianggotai oleh Siso, Usop dan Sani Sudin telah mencadangkan kepada pihak Luncai Emas untuk merakam semula lagu berkenaan. Persetujuan dicapai dan syarikat telah memberi kepercayaan kepada Hanafi Spider sebagai produser dan kerja menyusun semula muzik lagu ini.

Manakala Kopratasa menambah sedikit melodi baharu di bahagian korus lagu dan menyanyikan dengan cara mereka sendiri.

Biarpun rakaman semula lagu raya tersebut terdapat tambahan melodi, ia bukanlah bertujuan merosakkan lagu tersebut tapi memeriahkan lagi melodi tersebut untuk menepati konsep bergembira di hari raya.

Walau bagaimanapun, inovasi melodi tidak menganggu nilai asal lagu tersebut. Melodi asal tetap dijaga, senikatanya pun tetap dipakai seperti yang asal. Ini menjadikan lagu terbabit lebih ‘catchy’ dan menarik.

Sesi rakaman dibuat di Studio Ronggeng, Luncai Emas dengan pemuzik undangan Tony Iskandar (bass), Mohar (seruling) dan Hanafi Spider sendiri. Manakala proses mastering dibuat oleh Hafiz Studio.

Besar harapan Kopratasa agar lagu ini dapat diterima dan memberi sesuatu yang unik sempena sambutan Aidilfitri 2021 setelah lama ketiga-tiga ahli kumpulan ini membawa haluan masing-masing.

Mereka kembali dengan projek istimewa ini dibawah payung Luncai Emas Sdn Bhd untuk peminat, sahabat dan juga rakan-rakan yang sentiasa memberi dorongan untuk terus berkarya .

Sementara itu, penggambaran video muzik lagu terbabit telah dilakukan pada awal Ramadan lalu. Ke semua penggambaran dibuat di dalam studio dan persekitaran pejabat Luncai Emas memandangkan masih lagi dalam fasa pemulihan PKP akibat wabak pandemik Covid-19.

Video muzik ini diarahkan oleh pengarah muda yang semakin meningkat naik iaitu Juril Jumali yang banyak mengarahkan video muzik beberapa penyanyi popular sebelum ini.

Karya ini akan mula dilancarkan mulai 9 Mei ini dan ia boleh ditonton di saluran Youtube selain dimuat naik menerusi semua platform digital