Lagu Cinta Lebaran adalah lagu ciptaan sepenuhnya Mohammad Ihab Ismail atau lebih senang dikenali sebagai Ihab Ismail. Beliau merupakan artis di bawah Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd semenjak 2012 hingga kini.

Biarpun kerjaya professional sebagai pakar perubatan dalaman di sebuah hospital kerajaan membataskan pergerakannya dalam bidang seni, namun beliau sering menjadikan bidang seni ini sebagai tanggungjawab sosial yang perlu digalas oleh setiap pihak agar terus menyokong kesinambungan Irama Malaysia untuk memastikan tidak terus mati ditelan zaman.

Lagu Cinta Lebaran ini pernah dirakamkan buat pertama kali pada2009 nyanyian bersama Noraniza Idris dan kumpulan Akasia. Setelah 11 tahun, lagu ini dinyanyikan semula oleh Noraniza Idris bersama Ihab Ismail dan Azmir Ariff pada tahun ini. Lirik masih mengekalkan hasil penulisan Ahmad Fedtri Yahya.

Cinta Lebaran juga masih mengekalkan susunan muzik asal Eddie Marzuki dan disusun secara LIVE bersama pemuzik-pemuzik terkemuka tanahair seperti Ujang, Mohar, Allahyarham Kelly dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Noraniza Idris Production Ventures dan edaran secara digital oleh Luncai Emas. Karya ini sudah berada di semua saluran digital seperti Spotify , JOOX dan Apple Music bermula 5 Mei.

Sengaja tidak menggunakan susunan muzik baru, Noraniza selaku penerbit asal single ini ingin mengekalkan sentuhan keunikan gabungan muzik hasil idea dan inspirasi daripada setiap pemuzik profesional terlibat yang diangkat menjadi nostalgia serta kenangan terindah setiap kali menjelang hari raya.

“Terima kasih kepada Azmir Ariff dan Ihab Ismail yang sudi menyumbangkan tenaga dan suara dalam pembikinan semula rakaman single ini bagi sambutan Hari Raya ini.

“Pemilihan Ihab Ismail dan Azmir Ariff untuk nyanyikan semula irama ini adalah kerana latar belakang dua penyanyi ini sangat mudah memberi kerjasama dan sering memberi tenaga dalam setiap nyanyian mereka dalam menggayakan lenggok irama Malaysia yang unik dengan kreativiti sendiri,” katanya.

Noraniza Idris Production Ventures bakal melancarkan single duo pertama berkonsep etnik kreatif selepas hari raya nanti nyanyian Ihab dan Azmir. Single Cinta Lebaran ini merupakan langkah pertama mereka bagi 2021 sebelum lancarnya single sebenar mereka.