Suasana Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang Kampung Baru. GAMBAR Hiasan: Abd Razak Aid

RAMADAN menuntut kesederhanaan yang mana umat Islam diseru mengelakkan pembaziran dalam berbelanja termasuk untuk juadah berbuka.

Namun ironinya, seperti mana tahun-tahun sebelum ini, Ramadan adalah tempoh yang menyaksikan kutipan sampah terbanyak direkodkan untuk sepanjang tahun.

Menurut Alam Flora Sdn Bhd yang menguruskan pembungan sisa pepejal di ibu negara, jumlah sampah yang banyak itu berpunca daripada pembuangan makanan yang dibazirkan.

Turut menyumbang, pembungkusan makanan seperti bekas plastik yang digunakan secara meluas di pasar Ramadan dan premis makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, kutipan sisa pepejal meningkat sehingga 32,000 tan pada hari ke-20 Ramadan, tahun ini.

Katanya, peningkatan itu tinggi dan membimbangkan berbanding 27,000 tan pada tempoh sama tahun lalu di ibu negara.

Tiap kali Ramadan, pembuangan sampah dikesan meningkat antaranya sebab pembaziran juadah berbuka.

“Makanan yang tidak dihabiskan dan dibuang begitu saja, adalah antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan pada di bulan Ramadan, selain daripada bungkusan makanan daripada bahan plastik sekali guna.

“Ini sudah tentu amat membimbangkan kerana ia bakal mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan dan meningkatkan penghasilan gas metana yang boleh memudaratkan alam sekitar serta orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada program Imarah Ramadan ‘Love Food, Hate Waste’ di Surau Jumaat Al-Hikmah, PPR Beringin, hari ini.

Uapannya dibacakan oleh Timbalan Pengurus Besar Alam Flora, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim.

Mohd Zain berkata, Alam Flora menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri di bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah.

Baca artikel berkaitan: Polis guna dron pantau SOP di bazar Ramadan, Aidilfitri

“Ia juga mampu mengelakkan pembelian secara berlebihan, sekali gus boleh mengurangkan kadar belanja keluarga dan membantu mengamalkan hidup sihat,” katanya.

Sementara itu, pada program ini, Alam Flora bekerjasama dengan Pertubuhan DAI KL dan Surau Jumaat Al-Hikmah, mengedarkan bubur lambuk dalam bekas khas yang boleh diguna semula, kepada pengunjung dan peniaga bazar Ramadan di PPR Beringin.

Selain pengedaran bubur lambuk, Alam Flora juga turut menyumbangkan 25 tong untuk mengisi minyak masak terpakai, kepada peniaga bagi membolehkan mereka mengumpul minyak masak sudah digunakan untuk dikitar semula menjadi biodiesel.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram