Bandar raya Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

SELEPAS enam daripada sembilan daerah di Selangor diumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok sehingga 17 Mei, hari ini seluruh Kuala Lumpur juga bakal diletakkan di bawah PKP selama dua minggu.

Pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur ditetapkan bermula Jumaat ini sehingga 20 Mei depan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan di seluruh Kuala Lumpur sejak 1 April sehingga 27 April lalu.

Pada masa sama, kata beliau, jumlah kes harian juga semakin meningkat.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP Kuala Lumpur adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

“Setelah meneliti pembentangan serta cadangan daripada KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur bermula 7 Mei sehingga 20 Mei 2021.

“Dengan itu, pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan kecuali atas urusan kerja dan kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 6 daerah di Selangor diletakkan status PKP – Ismail Sabri

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, antara SOP yang telah ditetapkan termasuk kebenaran operasi premis makanan seperti restoran, trak makanan, penjaja dan kiosk dari 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

Walau bagaimanapun, makanan haruslah dibungkus untuk dibawa pulang sahaja kerana makan di kedai atau dine-in tidak dibenarkan.

Selain itu, kata Ismail Sabri, kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam.

Katanya, begitu juga aktiviti stesen minyak yang dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam kecuali di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 2 petang.

“Bazar ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat, Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau pun menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram