Hanya kerana kelemahan manusia inilah, Allah sediakan ganjaran yang paling menakjubkan

0
62
kelebihan waktu subuh

“Assolaatu khairum minannaum, Assolaatu khairum minannaum” Mungkin ada dalam kalangan kita, yang tidak biasa mendengar kalimah azan ini. Manakan tidak, ia dikumandangkan hanya pada waktu pagi, pada kala kita sedang enak dibuai keindahan mimpi.

Lafaz ini bermaksud, “Solat (pada waktu) itu lebih baik daripada tidur.”

Ia merupakan satu arahan yang perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim. Dan, ia hanya berkumandang di dalam azan subuh sahaja. Manakala ketika azan waktu yang lain tidak disebutkan.

Mengapa kalimah itu hanya dilafazkan pada waktu subuh, tetapi tidak pula pada waktu yang lain? Cuba kita fahami maksudnya yang tersirat.

Bukankah ini menunjukkan bahawa, Allah sedang memberikan isyarat kasih dan sayang yang begitu mendalam kepada hamba Nya. Disuruhnya kita bangun mengerjakan solat, sebagai membuktikan kasih dan cinta kita kepada-Nya.

Harus diingat, apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu, itu bermakna Allah sedang menguji dan ingin menganugerahkan rahmat dan ganjaran-Nya yang sangat besar. Namun begitu, sering kali juga kita gagal dan lalai dari memahami maksud dan isyarat yang Allah berikan, hingga secara tidak sedar kita telah mensia-siakan kasih dan sayang-Nya.

Waktu pagi adalah waktu yang sangat ajaib dan penuh dengan keberkatan. Terdapat banyak hadis dan dalil yang membicarakan tentang fadilat dan manfaat yang boleh diperoleh pada waktu tersebut, terutama waktu antara solat Isyak hingga subuh. Waktu inilah saat yang paling hampir seorang hamba dengan Penciptanya, iaitu ketika sedang solat.

Imam as-Sauri pernah mengatakan, mengapa para ulama kini tidak ramai yang mempunyai pengikut, berbanding ulama silam yang lalu? Ini kerana kebanyakan ulama-ulama kini tidak ramai yang sanggup untuk bangun pagi, berbanding ulama lalu.

Apa yang dimaksudkan dengan bangun pagi ialah melakukan qiamullail dan sentiasa melazimkannya.

Memang sudah menjadi naluri setiap manusia, begitu sukar untuk bangun pada waktu pagi mengerjakan ibadah. Kerana itulah Allah sengaja menyediakan ganjaran yang teramat besar, bagi hamba yang ingin meraihnya, kerana Allah tahu inilah kelemahan manusia.

Selain daripada bangun malam dan beribadah sebelum subuh, Allah turut meluaskan lagi rahmat-Nya dengan menyediakan waktu selepas fajar pula sebagai satu lagi imbuhan kepada hamba-Nya.

Keajaiban Duha

Waktu Duha iaitu waktu selepas syuruk ialah waktu yang juga penuh dengan keajaiban untuk dikejar.

Itu kerana solat Duha yang dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat mampu mengundang seribu satu keajaiban. Dan solat sunat ini juga tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda s.a.w. Antara sebab ia dilimpahi dengan ganjaran yang besar kerana waktu inilah manusia sering kali sibuk dengan urusan dunia.

Solat Duha merupakan salah satu jalan bagi memperluaskan rezeki. Rezeki yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada wang ringgit dan harta semata, tetapi ia merangkumi pelbagai, seperti kesihatan, kelapangan masa, dipermudahkan segala urusan dan masalah yang datang serta lain-lain lagi.

Namun begitu perlu difahami, solat Duha bukanlah solat yang wajib hingga terdapat sesetengah orang yang hanya melaksanakan solat Duha sahaja, tanpa mendirikan solat lima waktu.

Mereka beranggapan, hanya solat Duha yang boleh menjadikan mereka kaya. Di sinilah kesilapan mereka kerana niat dan I’tiqad telah jauh menyimpang. 

Nabi s.a.w. bersabda,

Dua rakaat solat fajar lebih baik daripada dunia dan isinya.” – HR Bukhari

Maka jelas bahawa Allah sangat memuliakan orang-orang yang mengerjakan solat pada waktu ini, hingga meletakkan kedudukan mereka lebih daripada dunia.

Adapun hadis lain dalam kitab Mukhtasar Shamaili Tirmizi turut menyebutkan tentang kelebihan bagi mereka yang melakukan solat Duha iaitu,

Dua rakaat solat Duha adalah sedekah bagi 360 sendi.”

Dalam tubuh manusia terdapat sebanyak 360 sendi, jadi adalah perlu memberi sedekah bagi setiap sendi pada setiap hari.

Jangan tidur lepas subuh

Ada pun selepas subuh tidak digalakkan untuk tidur semula hinggalah matahari terpacak tegak atas kepala iaitu waktu selepas Duha. Oleh itu buatlah apa sahaja aktiviti selepas selesai solat subuh, seperti berzikir, solat duha, bersenam atau apa sahaja yang mendatangkan manfaat.

Sekiranya ingin tidur, lakukanlah apabila matahari tegak di kepala, dan sebelum Zuhur kerana itu adalah satu sunnah yang dilakukan oleh Baginda s.a.w.

Seeloknya memperbanyakkan lagi zikir seperti ‘Alhamdulillah’ pada waktu pagi, kerana ia sebagai satu ungkapan syukur atas nikmat yang diberikan. Dan kita masih lagi, dapat menghirup udara yang segar setiap kali bangun tidur.

Perbaikilah segala amalan kita pada hari yang baru kerana, Sayidina  Ali r.a. pernah menyatakan empat perkara yang membawa manusia ke syurga jika diamalkan setiap hari iaitu, jangan sesekali bercerita tentang musibah yang kita alami kepada makhluk. Seolah-olahnya kita seakan tidak reda dengan musibah tersebut.

Kedua, apabila kita bersedekah, maka rahsiakanlah sedekah tersebut. Ditakuti ia mendatangkan riak dan takabbur dalam diri. Kemudian berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, kerana itu merupakan tanggungjawab kita sebagai anak.

Dan yang terakhir, memperbanyakkan zikrullah sebagai tanda kita mengingati Allah. Jika setiap hari kita amalkan, Insya-Allah kita akan menjadi insan yang berjaya. Wallahu a’lam.

______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram