PEMILIK premis yang mengetahui kedainya disenaraikan dalam HIDE, boleh mengambil tindakan memperketatkan kawalan SOP. - Gambar hiasan

BERMULA hari ini, enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 17 Mei manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula dikenakan PKP bermula 7 hingga 20 Mei.

Tinjauan UtusanTV di sekitar Pusat beli-belah Central Icity, Shah Alam sebentar tadi mendapati agak lengang tanpa kehadiran orang ramai.

Setiap premis tersebut juga patuh kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dengan hanya membungkus makanan tanpa boleh makan berhidang selain mengimbas masuk dan memeriksa suhu badan.

Dalam pada itu, pekerja premis, Amirul Aizat, 23, berkata, ini menunjukkan orang ramai patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Suasa lengang di pusat beli-belah membuktikan rakyat sentiasa patuh kepada SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi memerangi penularan wabak Covid-19.

“Ia satu petanda bagus dan saya berharap kita mampu mencapai kosong digit kes jangkitan sepertimana yang kita telah capai tahun lepas,” katanya kepada UtusanTV.

Bagaimanapun, dia menambah, perniagaannya serba sedikit terjejas tanpa kehadiran orang ramai.

“Perniagaan saya agak terkesan. Kalau dahulu saya boleh mendapat keuntungan bersih sehingga ratusan ringgit satu hari memandangkan orang ramai membuat persiapan raya.

“Namun pada hari pertama PKP 3.0 ini, ia kelihatan kurang memberangsangkan,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung pusat beli belah, Syuhaidah Rosli, 25, berkata dia amat kagumi usaha bersama rakyat dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

“Saya berkunjung ke pusat beli-belah ini untuk mendapatkan barang keperluan masakan saya. Saya amat kagum apabila melihat suasana di sini hampir kosong. Cuma penghantar makanan sahaja yang ada untuk hantar makanan kepada pelanggan.

“Saya harap kita semua mampu berganding bahu dalam usaha membendung gejala jangkitan Covid-19 ini secepat mungkin,” ujarnya.