Anda pernah dengar tentang ‘Tulang Sulbi’? Ada satu bahagian daripada tulang kita iaitu TULANG SULBI yang dikatakan tetap utuh, sekali pun jasad manusia hancur dimakan tanah.

Perihal tulang sulbi yang juga disebut tulang ekor manusia ini turut disebut dalam beberapa hadis sahih.

Apa sebenarnya tulang sulbi?

Tulang sulbi dalam istilah anatomi dipanggil sebagai koksiks atau ‘coccyx’ (tulang ekor), merupakan segmen tulang belakang manusia yang paling hujung. Ia dianggap sebagai tulang rudimentari dalam manusia.

Tulang sulbi.

Antara fungsinya  sebagai penampung berat badan dalam keadaan duduk serta menerima pelekatan beberapa otot dan ligamen. 

Ia merangkumi empat tulang vertebra koksigeal yang bercantum dan terletak di bawah sakrum. Bentuknya meruncing ke bawah seperti paruh dan merupakan tulang paling kecil berbanding tulang vertebra yang lain.

Tulang manusia tidak akan mereput apabila ditanam. Tetapi ia akan hancur atau menjadi debu apabila dibakar. Sama ada tulang koksiks turut hancur menjadi debu seperti tulang lain, belum dapat dipastikan kesahihannya kerana tiada kajian khusus mengenainya dilakukan.

Jadi, bagaimana hendak membuktikan apa yang tinggal itu cuma tulang sulbi?

Kedudukan tulang sulbi dalam badan manusia.

Ada sarjana Islam yang berpendapat bahawa tulang sulbi hanya sebesar biji sawi atau sebesar zarah. Sudah pasti apabila disebut sebesar zarah, saiznya adalah sangat halus.

Sarjana barat dan Islam telah mengkaji perkara ini untuk melihat kebenarannya dari sudut saintifik. Ilmuwan pertama yang cuba menelitinya ialah Hans Spemann, seorang saintis Jerman pada tahun 1931.

Hans Spemann.

Dalam penelitiannya, beliau memotong tulang ekor dari sejumlah haiwan, lalu cuba menghancurkannya dengan cara menumbuk dan merebus pada suhu yang tinggi.

Setelah menjadi serpihan halus, beliau memasukkannya ke dalam janin yang masih pada tahap permulaan embrio. Hasilnya, tulang ekor itu tumbuh dan membentuk janin sekunder pada guest body (organ tamu).

Beliau kemudian mencuba sekali lagi untuk menanamkannya pada salah satu gen haiwan amfibia dan ternyata sel itu masih boleh tumbuh pada janin induk.

Pada tahun 1931, beliau mendidihkan sel-sel tersebut lalu ditanam pula pada janin lain. Menakjubkan janin tetap tumbuh, sedikit pun tidak terjejas dalam proses pendidihan tadi. Kajiannya ini mendapat anugerah Nobel pada tahun 1935.

Kemudian, ilmuwan Muslim, Dr. Uthman al-Jilani dan Syeikh Abdul Majid tampil dengan kajian mereka. Keputusan eksperimen yang mereka lakukan mendapati kajian Hans Spemann sememangnya betul. Sel-sel pada jaringan tulang sulbi didapati tidak terpengaruh. Bahkan sel-sel itu dapat bertahan walau dibakar dalam tempoh yang lama.

Hasil penelitian mereka ini telah dibentangkan dalam satu persidangan mengenai mukjizat sains dalam al-Quran dan sunnah di Dubai pada tahun 2004.

Tapi apa pula kaitan antara tulang sulbi dengan kejadian manusia dari sudut saintifik?

Model 3D tulang sulbi.

Secara embriologi, apa yang ditemukan oleh para ilmuwan itu sememangnya boleh berlaku. Dengan syarat, sel-sel yang berada dalam tulang koksiks itu masih mempunyai jalur primitif dan hujung hadapannya nodus primitif. Secara ringkasnya, akan berlaku proses pembentukan tisu dan organ yang sama seperti dalam proses kejadian tubuh manusia.

Imam Ahmad dan Abu Dawud dalam kitabnya juga meriwayatkan hadis, “Setiap anak Adam itu akan dimakan tanah kecuali tulang sulbi. Daripadanyalah ia dijadikan dan daripadanya ia diciptakan semula.”

Berdasarkan hadis tersebut, ‘diciptakan semula’ itu dalam erti kata sebenar bermaksud ‘dibangkitkan’ semula.

Sarjana Islam percaya bahawa dari sel-sel induk yang tidak mati itulah mayat reput atau debu tulang belulang yang akan dihidupkan kembali oleh yang Maha Esa pada hari kiamat nanti.

Sebagaimana Tuhan boleh mencipta kita daripada tiada kepada ada, begitulah juga Dia boleh membangkitkan daripada tiada kepada ada.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidak ada sesuatu pun daripada tubuh manusia itu melainkan binasa semuanya. Kecuali satu tulang iaitu tulang sulbi. Dan daripadanya manusia itu akan dicipta semula pada hari kiamat.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

__________

Artikel lain : Teori sains dan demam pertama yang diturunkan ke dunia dari banjir besar Nabi Nuh a.s

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram