SPEKULASI siapa tokoh yang bakal menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah terjawab selepas bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria diumumkan menggalas jawatan tersebut hari ini.

Pengumuman itu dilakukan Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) menerusi kenyataan dengan Arifin turut dilantik sebagai Pemegang Amanah YPB berkuat kuasa hari ini.

Arifin adalah Ketua Hakim Negara dari tahun 2011 hingga 2017 dan merupakan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya antara tahun 2008 dan 2011.

Sebelum itu, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Pejabat Kehakiman dan juga Jabatan Perundangan Kerajaan Malaysia termasuk sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Peguam Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan.

Beliau juga pernah menggalas jawatan Penasihat Undang-undang kepada Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam selain Timbalan Penggubal Parlimen dan Peguam Persekutuan Kanan Jabatan Hasil Dalam Negeri.

Pada tahun 1992, Arifin telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan dua tahun kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.

Baca artikel berkaitan: Ariffin Zakaria ganti Zeti di PNB?

Setelah itu, beliau ditugaskan ke Mahkamah Rayuan pada tahun 2002 dan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2005.

Februari lalu, Arifin telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 bersama 18 lagi ahli jawatankuasa dengan pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Arifin mengikuti pengajian Undang-undang di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan mendapat Ijazah Sarjana Undang-undang dari University College London, UK pada tahun yang sama beliau dipanggil ke English Bar.

Dalam pada itu, YPB dalam kenyataannya hari ini turut mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah PNB berkuat kuasa 6 Mei 2021.

Norazah merupakan Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG) yang berperanan menyokong dan menasihati perniagaan serta organisasi seluruh Asia Tenggara.

Beliau membawa bersama lebih daripada 20 tahun pengalaman perundingan strategik dan pengurusan yang memberi tumpuan dalam transformasi perniagaan serta organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan kepemimpinan serta tadbir urus.

Norazah memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram