Oleh SALADIN HASAN SALLEH

AURA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Pusat amat kuat.

Penulis pernah menyaksikan bagaimana pesonanya melangkau sempadan negara apabila beliau diangkat umpama selebriti di Indonesia. Media Indonesia berebut-rebut untuk mendapatkan temuramah dengan Syed Saddiq kerana beritanya boleh ‘dijual’.

Sehinggakan generasi muda republik itu cukup cemburu melihat Malaysia melantik seorang Menteri Kabinet yang muda, pada usia 25 tahun. Mereka merasakan, sudah tiba masanya untuk Pak Jokowi memberi peluang serupa kepada generasi muda Indonesia.

Penulis akui kerap mengikuti perkembangan Syed Saddiq, meneroka idea dan pemikirannya. Tetapi semalam, penulis amat terkejut membaca kenyataan beliau di laman webnya yang bertajuk : Kerajaan Umum PKP Tanpa Bersandarkan Data.
Anda boleh membacanya di sini: https://syedsaddiq.co/kerajaan-umum-pkp-tanpa-bersandarkan-data/

Maaf cakap, macam bukan standard Syed Saddiq yang penulis kenali. Merapu…tembak membuta! Takkanlah tak buat research sebelum buat kenyataan.

Padahal, dua hari sebelumnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap panjang lebar mengenai sistem amaran awal kluster COVID-19 yang dipanggil HIDE.

Syed Saddiq bercakap mengenai data tetapi tahukah beliau yang kerajaan telah menggunakan dataraya (big data) dalam membuat keputusan berkenaan PKP.

Untuk berlaku adil, bacalah kenyataan penuh Khairy Jamaluddin dan buat Syed Saddiq, penulis ingin menitipkan pesanan. “Berpada-padalah di musim pandemik COVID-19.”

Berikut, adalah kenyataan penuh Khairy Jamaluddin:

Susulan peningkatan penularan wabak COVID-19 di Malaysia akhir-akhir ini, Kerajaan telah memutuskan untuk menggunakan sistem amaran awal yang lebih bersepadu bagi mengenal pasti sesuatu kawasan dan premis yang berisiko atau berpotensi menjadi hotspots atau pusat penyebaran virus COVID-19.

Sistem amaran yang dikenali sebagai Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) ini menggunakan analisis dataraya (big data) dan kecerdasan buatan (artificial inteligence) menerusi pengesanan kontak dan membuat ramalan kemungkinan terjadinya sesuatu kluster.

Analisis HIDE akan memberikan maklumat penting bagi membolehkan pihak berkuasa termasuklah Kementerian Kesihatan untuk mengambil tindakan awalan (pre-emptive) secara bersasar untuk mengelakkan terjadinya sesuatu kluster daripada lokasi atau hotspot tersebut.

Kerajaan telah bersetuju untuk menyiarkan premis-premis yang tersenarai di bawah HIDE bermula pada 7 Mei 2021 bagi membolehkan pemilik premis dan orang ramai mengambil tindakan wajar bagi mencegah terjadinya kluster berpunca daripada premis tersebut.

Antara tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pemilik premis ini termasuklah menjalankan kawalan orang ramai yang lebih ketat serta melakukan ujian saringan secara massa terhadap pekerja.

Selain itu, penyiaran senarai premis ini juga membolehkan orang ramai melaksanakan pengawasan kendiri termasuklah dengan tidak berkunjung ke sesuatu premis atau kawasan berisiko.

Intervensi awal termasuklah menerusi pematuhan kepada notis yang dikeluarkan HIDE akan mengelakkan kerajaan mengambil tindakan drastik seperti arahan penutupan premis atau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat.

Pada 3 Mei 2021, HIDE telah mengenal pasti 1,660 hotspots di seluruh negara yang berpotensi menjadi kluster iaitu peningkatan daripada 1,170 pada minggu lalu. Selain itu, menerusi data terkumpul, sejumlah 90% penyebaran COVID-19 berlaku di 0.2% premis yang berdaftar menerusi MySejahtera.

Bagi membolehkan analisis HIDE yang lebih tepat, premis yang masih belum berdaftar menerusi MySejahtera hendaklah berbuat sedemikan pada kadar segera selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini yang mewajibkan imbasan kod QR bagi setiap pengunjung premis.

Walaupun HIDE merupakan suatu langkah ke hadapan dalam menghadapi pandemik COVID-19, setiap ahli masyarakat serta perniagaan masih tetap perlu mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang merupakan langkah terbaik dalam mencegah penularan COVID-19.

*Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini pendangen peribadi penulis dan semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV