Digital penting untuk membolehkan peniaga kecil berdaya saing pada masa depan. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

GOOGLE Malaysia dan Astro Awani bergabung tenaga bagi membantu memacu peralihan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke arah digital melalui ‘Jiwa SME Google Awani’.

Menerusi Jiwa SME Google Awani, usahawan mikro dan PKS dapat meningkatkan kemahiran tenaga kerja di perusahaan mereka dengan mengambil bahagian dalam bengkel dan latihan virtual Google.

Kerjasama ini juga menyasarkan meningkatkan pengetahuan dan perkongsian maklumat dalam kalangan pihak industri menerusi program rancangan di saluran Astro Awani.

Ini seperti di AWANI 7:45, Agenda AWANI, Niaga AWANI, AWANI Pagi, AWANI Tonight dan portal www.astroawani.com.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, Google menyediakan pelbagai aplikasi dalam usaha membantu usahawan PKS.

“Dianggarkan 60 peratus pengguna digital baharu bukan dari kawasan bandar dan ini mencerminkan kaitan rapat sikap pengguna serta potensi besar ekonomi digital di luar Lembah Klang,” katanya dalam temubual menerusi program Agenda Awani baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, usaha tersebut digerakkan seiring matlamat lndustri 4.0 iaitu meningkatkan kualiti hidup melalui pemerkasaan digital dalam kehidupan seharian dan pendigitalan perniagaan.

“Melalui kekuatan penyediaan teknologi oleh Google Malaysia dan Astro Awani sebagai saluran berita utama, kita berharap banyak lagi kisah kejayaan peniaga-peniaga kecil berubah dengan pantas sepanjang menempuh COVID-19 ini terus menjadi inspirasi kepada umum,” katanya.

Baca artikel berkaitan: SME Corp. tumpu dua strategi tingkat pertumbuhan PKS

Pembangunan kemahiran dalam kalangan usahawan tempatan mengenai penggunaan teknologi Google pula bakal mendominasi platform webinar dan latihan secara virtual di AwaniLINC (linc.astroawani.com).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram