Sebahagian daripada pelajar-pelajar membawa bagasi pakaian ke dalam bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri di Pusat Pelepasan, Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

HARI ini bermulanya proses penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari kampus ke rumah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Malah, malam tadi, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut meluangkan masa untuk meninjau persiapan yang sedang dijalankan di Bilik Gerakan #IPTPulang.

Menurut media sosial Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di Universiti Utara Malaysia (UUM) misalnya, seramai 1049 pelajar telah yang pulang ke rumah masing-masing dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak universiti.

Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 – 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021.

Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Para pelajar atau ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi penghantaran pulang ini boleh menghubungi bilik gerakan KPT yang akan beroperasi selama 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram