Memang waktu itu sudah lewat. Sudah pukul 11.30 malam, tapi saya mesti pergi ke kebun getah ini. Walaupun gelap, sunyi dan menyeramkan, saya perlu jumpa dia.

Ini bukan hal biasa. Saya bimbang kalau dibiarkan, nanti keluarga saya pula yang akan dapat bahaya. Anak-anak masih kecil lagi. Saya kena lindungi mereka.

“Jom ikut aku,” kata saya kepada Man. Dia kawan baik saya, rumahnya selang beberapa buah saja dari rumah saya di sebuah tanah rancangan Felda di Segamat, Johor. Sengaja saya ajak Man sebab dia tahu apa yang akan saya buat sebentar lagi.

Lebih kurang 20 minit menunggang motosikal meredah kegelapan malam, akhirnya kami sampai di kebun getah saya ini. Saya tongkatkan motosikal, kemudian pergi ke tepi belukar di tepi sebatang  parit. Inilah tempatnya.

Kami duduk beralaskan surat khabar, kemudian nyalakan sebatang lilin. Man diam saja. Saya tau, Man bukannya berani sangat. Tapi siapa lagi nak saya harapkan malam-malam begini, kalau bukan dia.

Saya pejamkan mata dan mula memanggil nama`nya’. Saya mahu dia datang cepat. Saya ada masalah, tolonglah bantu.

Namanya saya panggil lagi berulang-ulang.

Seminit, dua minit, tiga minit… empat… lima… namun dia masih tidak muncul.  

Keadaan kebun getah yang sunyi membangkitkan rasa seram. Saya terus memanggil… dan selepas 10 minit berlalu, dalam gelap itu saya lihat ada seseorang muncul dari celah belukar. Langkah tapak kakinya tidak berbunyi. Hanya bayangan dirinya saja yang semakin jelas.

Saya mencuit paha Man dan berbisik, “Dia dah datang, kau jangan lari, jangan cakap apa-apa,” Man mengangguk.

Perlahan-lahan jelmaan berpakaian serba putih itu datang mendekati kami. Akhirnya tinggal berjarak beberapa meter saja, dia menghentikan langkah.

Dia lelaki tua berjanggut panjang, berjubah serta kopiah putih. Badannya bongkok empat, seperti orang sedang rukuk ketika solat. Tingginya hanya separas dada saya saja. Mukanya dipenuhi kedut.

Inilah Tok Zainal, makhluk alam ghaib yang tinggal di dalam kebun getah keluarga saya.

Gambar sekadar hiasan.

MENGILAI

“Apa tujuan cucu datang?” orang tua itu bertanya.

Saya pun ceritakan dari awal. Kata saya, pukul 10.30 malam tadi, ketika saya sekeluarga sedang menonton televisyen, tiba-tiba kami dengar bunyi bumbung zink di bahagian tengah rumah saya dipijak sesuatu.

Cukup kuat. Terperanjat kami dibuatnya. Dari bumbung tengah rumah, ia bergerak ke arah bilik tidur saya. Bunyi tapak kakinya menghentak-hentak cukup menakutkan.

PRAANNGG! PRRAANNGG!

Anak-anak terkejut, bertempiaran lari, menjerit dan memeluk saya serta isteri. Manakan tidak, dari dalam rumah itu kami boleh nampak zink terhenyak dan membengkok menuju ke bilik tidur kami. Di situ ia terhenti.

Segera saya ambil lampu picit dan berlari keluar. Dari situ saya nampak ada lembaga berselubung kain putih sedang berdiri di atas bumbung. Rambutnya panjang mengerbang panjang hingga menutup muka.

“Ooo… engkau punya kerja rupanya, ya! Siap kau!!!”

Sambil memaki hamun, saya membalingnya dengan batu yang bersepah di tanah. Batu besar, batu kecil, semua saya baling. Mungkin kena sasarannya, lembaga berkenaan terbang ke arah sebatang pokok kelapa di tepi rumah saya.

Ia terbang sambil ketawa mengilai. Nyaring dan mengerikan. Saya terus juga membalingnya dengan batu. Agaknya sebab tak tahan kena baling, lembaga itu terbang menuju ke kebun getah dan terus hilang daripada pandangan.

Saya masuk semula ke dalam rumah, tukar pakaian dan pecut motosikal pergi ke rumah Man. Itulah sebabnya sekarang kami berdua datang berjumpa dengan Tok Zainal pada pukul 12 malam ini.

MENGAJI

“APA TUJUAN puntianak tu ganggu keluarga saya, Tok?” saya bertanya.

“Sebenarnya benda tu nak masuk rumah kamu, tapi tak boleh sebab ada yang jaga,” jawab Tok Zainal.

Tok Zainal menenangkan saya. Katanya puntianak itu tak akan datang mengganggu lagi. Bila dia kata begitu, barulah lega rasa hati saya. Beberapa minit di situ, Tok Zainal mengiringi saya dan Man berjalan ke motosikal, dan balik. Benarlah, malam itu dan malam-malam seterusnya, keluarga saya tidak diganggu lagi

Siapa Tok Zainal? Tentu anda tertanya-tanya, siapa gerangan orang tua itu. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, Tok Zainal adalah makhluk alam ghaib yang tinggal di dalam kebun getah kami. Kata orang, dia bunian.

Mulanya saya tidak percaya juga bila mak, ayah dan jiran-jiran cerita begitu. Tapi bila sedang menoreh getah saya dengar suara orang memanggil, bau masakan, kari, goreng pisang dan sebagainya, akhirnya saya percaya juga. Isteri saya pun selalu mengalami hal serupa.

Kata orang, bunian ini boleh dipanggil. Betul ke? Kawan-kawan cadangkan saya cuba.

Suatu malam, saya ajak beberapa orang kawan, termasuk Man, pergi ke kebun. Saya nak tengok, betulkah di kebun getah saya ada bunian dan makhluk ini boleh dipanggil.

Kami duduk rapat-rapat dan pasang lilin. Saya kemudian memanggil bunian itu supaya tunjukkan diri, kalau benar mereka wujud dan tinggal di kebun getah kami.

Lama juga saya memanggil, hingga ada kawan yang sudah mula ajak balik. Akhirnya selepas hampir 20 minit memanggil, muncullah lembaga seorang tua berbadan bongkok, berjanggut panjang serta memakai jubah dan kopiah putih. Ia berjalan di dalam gelap itu menghala ke arah kami.

Terus-terang cakap, waktu itu memang kami rasa nak cabut lari. Tapi kalau kami lari, rugi pula. Bukan senang nak jumpa bunian.  Jadi, walaupun takut, kami bertahan juga, hinggalah lembaga itu berhenti di hadapan kami.

“Ada apa panggil atuk?” dia bertanya. Ya-Allah… waktu itu badan saya menggigil. Terkejut apabila orang tua itu bersuara.

“Tak ada apa-apa, tok. Cuma nak kenal dengan tok,” jawab saya.

Saya pun bertanya namanya.

“Nama aku, Zainal. Panggil aku, Tok Zainal.”

Kata Tok Zainal, selain rumahnya, ada dua lagi rumah didirikan di dalam kebun getah saya. Tok Zainal beritahu usianya 200 tahun. Setiap malam dia mengajar kanak-kanak di kampungnya mengaji al-Quran.

“Kalau ada masalah, datanglah jumpa Tok. Tapi jangan datang awal, Tok ajar budak mengaji.”

Sejak itu, kalau ada masalah besar, saya akan jumpa Tok Zainal. Bukanlah selalu. Dua, tiga tahun sekali baru pergi jumpa. Saya akan pergi pada lewat malam.

Bila sudah biasa berjumpa, saya pernah minta Tok Zainal nombor ekor.

“Kamu jangan nak buat kerja haram! Kalau tak ada duit, kerja!” marah betul orang tua itu. Heh heh heh… saya ketawa.

Soalan saya, pada pandangan anda, Tok Zainal itu bunian, atau apa? Sekian untuk hari ini. Nanti saya akan kongsi cerita lain pula.

Diceritakan oleh : Shafie, Segamat, Johor.