Dr Noor Hisham Abdullah

AMBIL iktibar dari negara India, demikian tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, apa yang berlaku di India itu adalah satu tsunami COVID-19 yang memberi banyak pengajaran pada semua.

Katanya, ini khususnya mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan termasuk ketika perayaan seperti Aidilfitri yang bakal berlangsung minggu depan.

“Selain perhimpunan keagaamaan serta sosial, di India juga sebelum ini berlaku enam pilihan raya tempatan.

“Kita ambillah iktibar macam mana kesannya apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan.

“Justeru, dengan Ordinan Darurat, kita boleh tangguh tiga pilihan raya kecil dan yang akan datang PRN Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: COVID-19 terus naik dengan 4,519 kes baharu, 25 kematian

Kelantan arah tutup gerai dan penjaja, fasiliti kesihatan kritikal

Tambah Noor Hisham, aktiviti sosial, keagamaan, sukan dan pendidikan adalah antara yang boleh dikawal dengan menentukan SOP berkaitan.

Katanya, peningkatan kembali kes yang dihadapi sudah tentu berkait langsung apabila aktiviti-aktiviti ini dibenarkan semula.

“Sebab itu, kali ini, KKM syorkan sekolah tidak dibuka sehingga akhir bulan ini. Malah Aidilfitri sekali disambut dalam rumah, bukan rumah terbuka.

“Saya akui satu cabaran untuk memastikan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi, kesihatan dan sosial, kesihatan dan pendidikan.

“Semuanya penting tetapi kita akan harus cari keseimbangan. Misalnya restoran dibenar dibuka tetapi buat masa ini hanya untuk bungkus,” katanya.

Mengenai varian baru, kata Noor Hisham, antara yang boleh dilihat adalah lebih banyak golongan muda dijangkiti COVID-19 ketika ini.

Contoh kluster yang dikesan telah dijangkiti Variant South Africa B.1.351 dengan kes indeks kluster ini pelajar berusia 16 tahun.

Selain itu, katanya, terdapat pertambahan kes kematian yang boleh dikait dengan kewujudan varian baru.

Varian baru juga katanya, telah menyebabkan kaedah rawatan yang digunakan sebelum ini kurang berkesan bagi sebahagian kes.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram