siti nordiana

PENGHASILAN lagu runut bunyi (OST) sememangnya menuntut penjiwaan yang selari dengan jalan cerita sesebuah drama mahupun filem.

Hakikatnya,perjalanan ceritanya perlu cukup jiwa dan rasa untuk melengkapkan keseluruhan mood naskhah berkenaan. Justeru, penyanyi Siti Nordiana yang tampil dengan lagu baharu berjudul Cukup Derita Itu menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu berkenaan.

Mendapat sentuhan komposer hebat, Tam Spider dan liriknya hasil nukilan Siti Rosmizah, ternyata gabungan mereka cukup kuat untuk memberi kelebihan terhadap lagu ini.

Karya itu turut menjadi lagu (OST) drama yang menggunakan judul sama, Cukup Derita itu lakonan bintang ternama Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias,Farhan Asri, Dian P Ramlee, Balkisyh Semundur Khan, dan ramai lagi.

Drama arahan Along Kamaludin dan ceritanya diadaptasi daripada novel Siti Rosmizah itu akan ditayangkan di Slot Samarinda TV3 pada bulan ini.

Meskipun memang sudah diakui kehebatan nyanyian dengan cara tersendiri, Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana tetap berdepan cabaran tersendiri melunaskan lagu itu. Apalagi, dia sendiri tahu betapa pentingnya lagu OST yang menjadi nadi kepada keberkesanan sesuatu drama.
“Lagu runut bunyi perlu ada pendekatan tersendiri dan itulah cabaran yang saya hadapi untuk memastikan Cukup Derita Itu menjadi. Pertama sekali, semestinya saya kaji terlebih dahulu keseluruhan plot cerita drama berkenaan untuk memastikan dapat gambaran tepat.

“Memandangkan drama itu adalah naskhah yang menuntut permainan emosi dan ada babak kesedihan, saya kena tekankan daripada segi itu juga. Justeru, untuk lagu ini, saya cuba salurkan corak penceritaan dengan nada merintih terhadap setiap bait liriknya.

“Paling penting, secara peribadi saya memang sangat berbesar hati dapat menyanyikan karya nukilan Tam. Dia sememangnya komposer yang begitu teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu berkenaan dengan emosi tepat,” katanya.

Sentiasa mengutamakan ketelitian dalam karyanya, Tam pula mengakui lagu berkenaan satu tugasan yang cukup besar. Sebelum beralih kepada proses rakaman, perbincangan secara mendalam dengan Siti Rosmizah dibuat untuk memastikan aura lagu terbabit mampu setanding jalan cerita drama itu sendiri.

“Walaupun runut bunyi itu hanya berdurasi beberapa minit, penghasilannya perlu dilakukan dengan begitu teliti. Terutama daripada segi melodinya, kena menepati keseluruhan mood serta perjalanan kisah yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan.

“Saya harus puji bagaimana Siti Rosmizah menerangkan secara mendalam dan terperinci berkenaan aspek penceritaan itu. Sekali gus, ia sangat membantu saya untuk menghasilkan lagu yang boleh meruntuh jiwa ramai sebaik mendengar serta menghayati baik liriknya,” ujarnya.

CUKUP DERITA ITU kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify,Apple Music, JOOX, KKBOX dan Deezer.