amyza aznan

AIDILFITRI bakal menjelma tidak lama lagi dan ini merupakan tahun kedua kita bakal menyambutnya dalam norma baharu.

Semestinya perasaan rindu pada kampung halaman, keluarga dan sanak saudara semakin menebal. Mana tidaknya, sudah dua tahun kemeriahan Syawal tidak dapat disambut dengan sanak saudara yang jauh dan dekat. Pasti banyak cerita yang ingin dibualkan di pagi raya nanti. Hanya panggilan video sahaja sebagai pengubat rindu.

Melihat situasi ini, Media Prima Berhad melalui syarikat rakaman Monkey Bone, mengambil peluang menghasilkan sebuah lagu berjudul Salam Sayang yang dapat menyampaikan perasaan rindu kepada keluarga dan insan-insan tersayang.

Lagu tersebut boleh dikatakan sebagai penghubung dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri tahun ini. Walau jarak memisahkan, tetapi bulan kemenangan ini tetap disambut dengan kemeriahan. Lebih istimewa lagu ini juga diangkat sebagai lagu tema Aidilfitri Media Prima Berhad.

Gubahan komposer Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Acap ini telah disampaikan dengan baik oleh pasangan ibu dan anak popular, Amyza Aznan dan Adrian.

Mereka merupakan peserta dan juga pemenang bagi rancangan Famili Duo Episod 4 yang telah bersiaran di TV3 baru-baru ini. Semua pihak bersetuju apabila kali pertama pasangan ibu dan anak ini dicalonkan untuk merakamkan lagu ini. Aura mereka, keletah mereka menjadi aspek penting dalam pemilihan kali ini. Seperti yang diduga, dengan bantuan komposer terkenal, Sharon, lagu itu sangat menepati citarasa setiap pendengar.

Sebagai seorang penyanyi cilik, Adrian,13, mempunyai satu jalan yang baik di ruang industri hiburan dengan anugerah suara yang telah dikurniakan. Malah, Adrian turut dilamar oleh Monkey Bone untuk menghasilkan single pertamanya tak lama lagi.

Dengarkan Salam Sayang di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKbox , Deezer dan juga Joox. Manakala nantikan muzik video Salam Sayang di saluran Youtube Monkey Bone yang bakal dimuat naik tidak lama lagi.