tentera
BEKAS tentera yang menceroboh ditamatkan perkhidmatannya sebelum ini kerana mempunyai masalah mental. - Gambar www.pexels.com

SEORANG lelaki bekas tentera yang dipercayai mempunyai masalah mental mati ditembak didapati cuba menceroboh pos kawalan Batalion ke-4 Regimen Sempadan di Gerik, semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang bersenjata parang didapati bertindak agresif dalam kejadian pada 6.45 petang semalam.

Memetik laporan Bernama.com, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki tersebut cuba menceroboh ke kawasan batalion dengan memanjat pagar pintu hadapan.

“Lelaki tersebut kemudiannya telah diberikan amaran oleh anggota tentera yang berkawal di pos pengawal pintu hadapan berkenaan namun lelaki itu telah bertindak agresif dengan menyerang menggunakan senjata yang dibawa.

“Dalam pergelutan itu, anggota tentera telah melepaskan tembakan dan mengenai lelaki tersebut yang kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik oleh pihak polis sebaik dimaklumkan, namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BERITA BERKAITAN Cadang syarat khidmat tentera wajib 21 tahun untuk layak dapat pencen

Mior Faridalathrash berkata siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut merupakan bekas tentera yang ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan pihaknya juga telah merampas beberapa barang berkaitan kes tersebut.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat forensik yang akan dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan Tempat Larangan 1959.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya. Kami harap tiada sebarang spekulasi oleh orang ramai sehingga menjejaskan siasatan berkenaan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram