ismail
ISMAIL SABRI YAAKOB


KLUANG muncul daerah keempat di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 11 hingga 24 Mei ini selepas Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kluang merekodkan 512 kes positif daripada 3,867 ujian saringan Yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 4 Mei lalu hingga semalam.

Selain itu katanya, KKM turut merekodkan empat kluster aktif di daerah berkenaan ketika kadar positiviti pula adalah 13 peratus manakala kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

“Selepas meneliti pembentangan, cadangan dan nasihat daripada KKM serta penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Kluang, Johor berkuat kuasa 11 Mei sehingga 24 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan PKP di daerah itu juga menyebabkan pergerakan rentas negeri dan daerah juga tidak dibenarkan.

Ujarnya, prosedur operasi standard (SOP) di daerah Kluang adalah sama seperti PKP yang diumumkan sebelum ini. 

“Pelaksanaan PKP ini antara lain untuk menyekat pergerakan terutamanya di musim perayaan dan cuti sekolah berikutan kluster tertinggi yang dilaporkan adalah daripada komuniti.

“Pada masa sama, ia bertujuan mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan mengelakkan penularan kes disebabkan aktiviti berkumpul dan majlis sosial,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, peningkatan kes Covid-19 di Kampung Keramat, Semporna, Sabah  menyaksikan kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 hingga 24 Mei ini.

Katanya, KKM setakat ini merekodkan 10 kes positif Covid-19 daripada 101 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti terbabit. KKM juga melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes yang amat ketara selain pematuhan SOP penduduk di lokaliti terbabit masih rendah.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Keramat, Semporna, Sabah berkuatkuasa 11 sehingga 24 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti berkenaan,” katanya.