tutup
KL Sentral tetap beroperasi walaupun tersenarai dalam HIDE tetapi kedai-kedai diarahkan tutup. - Gambar hiasan

SEMUA perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa walau bagaimanapun, semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan di bawah akan ditutup selama tiga hari dari 9 – 11 Mei 2021 mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara terminal dalam senarai HIDE ialah:-

  1. LRT KLCC
  2. LRT Masjid Jamek
  3. KL Sentral

“Perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur, ” menurut kenyataan dari MOT.

BERITA BERKAITAN Kerajaan kongsi senarai lokasi, premis berisiko tinggi guna sistem HIDE

Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan.

Stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu (thermal scanners) disamping penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat.

Dalam masa sama, MOT juga ingin mengingatkan kepada semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP di semua stesen dan terminal termasuk penggunaan ‘hand sanitiser’, memakai pelitup separuh muka dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin serta mengimbas kod QR MySejahtera.

Sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari masa ke semasa.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram