amir masdi

SAMA seperti orang lain, penyanyi Amir Masdi turut tidak berpeluang untuk menyambut Lebaran di kampung halaman disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan bagi menyekat penularan Covid-19 dalam negara.

Meskipun ini merupakan tahun kedua dia tidak dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana kampung, Amir atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi,25, tetap meraikannya dalam cara bersederhana.

Berkongsi mengenai kenangan setiap kali menyambut hari raya, Amir yang meminati lagu raya Cahaya Aidilfitri nyanyian Black Dog Bone berkata, dia sangat merindui suasana dan juadah raya di kampung.

“Saya paling terkenang makanan pada hari raya. Selalunya makanan di kampung rasanya lain sebab orang tua masak jadi ia lebih istimewa. Kalau orang lain sibuk bermain mercun, saya lebih suka makan, menonton televisyen dan layan filem P. Ramlee beramai-ramai.

“Jadi, bila tak balik kampung sejak tahun lalu, mak yang masak tapi tak sama ‘vibes’ kalau beraya di kampung. Lagi pula, di kampung banyak menu lain dan menarik terutama jika pergi berziarah. Kalau di Kuala Lumpur, apa yang ada saja..paling tidak pun makan di kedai makan,” katanya.

Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai karier seninya, Amir teruja apabila impiannya untuk memiliki lagu raya akhirnya tercapai dengan pelancaran single berjudul Hari Ini Hari Raya.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shazee dan Altimet itu adalah buah tangan terbaharu yang dianggap kena dengan dirinya sekali gus menjadi hiburan halwa telinga peminat.

Menariknya mengenai lagu raya itu, Amir yang juga finalis Anugerah Juara Lagu (AJL 35) berkata, lirik lagu tersebut berkonsepkan pesanan harian.

“Lagu ini secara asasnya mengenai raya. Cuma ia lebih kepada luahan hati dan pesanan buat yang mendengar. Lirik disampaikan dalam bentuk kasual…macam memberi pesanan. Pendek kata ia bukan macam lagu raya lain.

“Boleh dikatakan saya merakamkan lagu ini pada saat akhir iaitu pada dua minggu lepas. Saya rakam lagu pada Rabu dan penggambaran video muzik pula pada Jumaat minggu yang sama.

“Pada waktu itu juga barulah fikir idea dan konsep video muzik. Alhamdulillah, hasilnya menarik. Video muzik ini membabitkan saya seorang saja tapi saya tampil dalam karakter yang pelbagai. Jadi, konsep video muzik lagu ini memang lain dari yang lain,” jelasnya.

Menurut Amir, single Hari Ini Hari Raya juga adalah lagu raya pertama yang dirakamkan sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian.

“Sebelum ini tidak pernah terfikir nak rakam lagu raya. Kebetulan tahun ini dapat lagu raya yang menarik. Kalau nak tahu, pada asalnya nak lancar lagu ketuhanan, tapi tak puas hati sangat, jadi tak jadi buat.

“Apabila dapat lagu ini, saya dan syarikat rakaman sukakan melodi karya ini. Itu yang ambil keputusan untuk rakam lagu ini. Malah, ia adalah kerjasama pertama saya dengan kedua-dua komposer ini.

“Secara peribadi, melodi lagu ini lebih rapat dengan pendengar dan saya sendiri. Sebelum ini, saya tak biasa nyanyi lagu ceria sebab itulah saya pilih lagu ini kerana nak bagi orang dengar selain ia adalah nyanyian saya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Amir berkata, walaupun lagu itu tidak boleh dibandingkan dengan kebanyakan lagu raya popular dan ‘evergreen’ lain, namun karya tersebut tetap memiiki kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Kalau nak kata lagu ini setanding dengan lagu raya ‘evergreen’ lain, sejujurnya biarlah rezeki yang menentukan. Lagi pula, lagu raya lama ada aura yang kaut. ‘Signature’ lagu raya sudah melekat dalam lagu itu.

“Macam lagu raya baru sekarang ia lebih kepada untuk segarkan telinga pendengar. Malah untuk penyanyi itu sendiri juga lebih kepada untuk profil kerjaya mereka. Macam saya, memang nak ada lagu raya sendiri.

“Jadi, apabila keluarkan lagu raya ini, ia bukan untuk kalahkan lagu raya sedia ada. Sekurang-kurangnya kehadiran lagu raya saya ini akan memeriahkan lagi suasana sambutan raya tahun ini,” ungkapnya.