LAPAN ahli kumpulan Abu Sayyaf termasuk dua yang dikehendaki pihak berkuasa berjaya ditahan dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabtu lalu.

Operasi di kawasan paya bakau itu dilakukan polis dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Kesemua mereka yang merupakan warga Filipina dipercayai menjadikan Sabah sebagai lokasi persembunyian dari pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mereka ditahan bersama 29 lagi individu, semuanya warganegara Filipina, dalam operasi pada 3 pagi itu.

HAZANI GHAZALI

“Kita telah semak dengan pasukan keselamatan Filipina dan mereka mengesahkan lapan lelaki itu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah hasil operasi dijalankan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara tersebut.

“Semakan dengan pihak Filipina juga mendapati dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Pengganas pun terjejas akibat COVID-19.., mereka kini tiada sokongan – Bukit Aman

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Hazani berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu tidak terlibat dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di negeri ini dan dipercayai mereka mahu menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram