KERAJAAN sebelum ini telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 20 Mei depan membabitkan 14 mukim dalam daerah Besut di Terengganu yang menyaksikan hanya mukim Hulu Besut tidak diletakkan dalam arahan tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan hari ini memutuskan mukim Hulu Besut turut dikenakan PKP mulai esok sehingga 20 Mei.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan berkenaan dicapai selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat penularan jangkitan COVID-19 yang berlaku di mukim tersebut.

“Setelah membuat penilaian semula bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menambah mukim Hulu Besut bagi PKP di daerah Besut, Terengganu bermula 11 sehingga 20 Mei ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, peningkatan jumlah kes positif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di dua lokaliti iaitu masing-masing satu di Johor dan Sarawak memaksa kerajaan melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD).

Di Johor, Ismail Sabri memaklumkan PKPD bakal dilaksanakan di Felda Kahang Timur, Kluang mulai Rabu ini sehingga 25 Mei.

Katanya, KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dengan 28 orang daripadanya telah disahkan positif COVID-19 setakat semalam.

Beliau berkata, KKM juga melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini diperlukan kerana taburan kes yang menyeluruh di Felda Kahang Timur memerlukan tindakan kawalan dan pencegahan kawalan yang lebih besar.

Baca artikel berkaitan: PKPD 23 lokaliti di Pahang, satu sekolah di Johor – Ismail Sabri

“Pada masa sama, semua aktiviti yang berisiko tinggi dan boleh menjadi punca kepada penyebaran kes COVID-19 dapat dihentikan seketika,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan PKPD di Sarawak, Ismail Sabri mengumumkan ia akan dikuatkuasakan di Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak.

Jelas beliau, sehingga kini sebanyak 17 kes positif COVID-19 telah direkodkan daripada 62 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

KKM malah melaporkan telah berlaku peningkatan kes secara positif secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak berkuat kuasa 12 Mei sehingga 25 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta menyekat penularan jangkitan kes COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut,” tambah beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram