Baru sahaja dilancarkan April lalu, jenama FarahAlya mendapat sambutan luar biasa. Dilancarkan terhad kepada 1000 helai setiap rekaan, koleksi milik Datin Hamizan Puteh ini sold out walaupun bersaing dengan jenama terkenal lain.

Daripada sebuah nama asing, kini FarahAlya menjadi rebutan peminat fesyen tempatan dan luar negara. Baginya ia membuktikan, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan yang diterima daripada pelanggan FarahAlya. Walaupun jenama ini baru sahaja dilancarkan pada April yang lalu, kesemua design habis dibeli. Ini sebenarnya membakar semangat saya untuk terus berbisnes.

“Dulu saya agak skeptikal adakah jenama baru seperti FarahAlya mampu diterima baik atau sebaliknya. Saya pula pada waktu itu memberanikan diri mengasilkan beribu helai baju terus kerana yakin rekaan ini disukai oleh generasi muda.

“Akhirnya ‘perjudian’ saya berbaloi apabila ramai yang suka dan membelinya. Kemungkinan besar pada masa akan datang saya mahu menghasilkan lebih banyak rekaan baharu, moden dan mengikut trend terkini,” kata yang turut mesra disapa Datin Ezan.

Dalam pada itu, Datin Ezan juga sedar keadaan semasa pandemik Covid19 membuatkan ramai terkesan dan kuasa beli pengguna juga semakin berkurangan, namun sokongan yang ditunjukkan melalui penjualan jenama ini sangat memberangsangkan.

Menganggap ini merupakan rezeki buat FarahAlya, Datin Ezan menegaskan terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaannya.

“Sejak awal lagi saya tegaskan mahu rekaan yang moden, sesuai dengan golongan remaja dan berkualiti. Apa yang penting harga mampu milik dan tidak terlalu mahal. Dengan adanya formula sebegini, ia mampu menarik minat sesiapa sahaja,” katanya yang menggunakan nama anak sulungnya sebagai jenama sendiri.

Dan lebih mengujakan, kejayaan membina jenama FarahAlya ini turut mendapat perhatian suami yang baru-baru ini menghadiahkan sebuah kereta mewah berjenama Mercedes.

Menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk terus bekerja keras dalam bidang fesyen, wanita ini bersyukur kerana suami tidak pernah menghalang dirinya untuk meneroka apa sahaja bidang yang diimpikan.

“Dalam berumah tangga ni memang perlu saling sokong menyokong. Bila ada sokongan suami, ia memberikan semangat berganda buat saya untuk berjaya. Ditambah pula dengan rakan-rakan lain yang selalu ada, mereka juga memberikan inspirasi,” tambahnya.