Oleh : TUN HANIF OMAR

Ya, UMNO boleh kembali relevan, bila mereka yang tak relevan beri laluan untuk UMNO diputihkan. Ya, banyak benda nak dibuat untuk putihkan UMNO. Hendaknya, sempena ulang tahun ke- 75 pada 11 Mei 2021 ini, pemutihan itu terjadi.

Orang Melayu, baik yang tua mahupun yang muda, baik yang benci politik mahupun yang gila politik, baik yang sudah meluat dengan UMNO mahupun yang fanatik terhadapnya, semuanya akan kembali sayangkan UMNO. Ia mampu kembali menjadi parti nasional nombor satu di negara ini.

Buat masa ini tiada mana-mana parti lain yang mampu menandinginya untuk berada di situ.

UMNO belum rosak. Strukturnya masih kukuh. Catnya saja yang pudar dek diconteng oleh terlalu ramai perosak bertopengkan pemimpin.

Gerakan rakyat akan tampil dengan manifesto rakyat, yang menolak empat perosak ini:

(i) mereka yang gila kuasa;

(ii) mereka yang salah guna kuasa

(iii) mereka yang rasuah, dan

(iv) mereka yang jadi tali barut penjenayah ekonomi hitam.

Bila mereka itu sudah tidak relevan, UMNO akan kembali relevan. Melayu yang selayaknya menerajui UMNO (dan BN) adalah dalam kalangan khalifah yang berkeperibadian FAST (Fatonah, Amanah, Siddiq dan Tabligh).

Insya-Allah, UMNO akan kembali seperti dulu, sebagai payung negara kepada kita semua, bukan saja kepada bangsa Melayu. Hendaknya begitulah.

Selamat menyambut ulang tahun Ke-75 kepada UMNO.

*Tun Hanif Omar adalah Pengerusi, Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.