Pelan keluar daripada perintah berkurung coronavirus peringkat ketiga Britain membolehkan individu yang divaksin keluar negara.

SIAPA sangka, daripada sebuah negara yang dianggap bakal berdepan krisis kesihatan paling buruk akibat penularan Covid-19, United Kingdom (UK) akhirnya bakal ‘bebas’ daripada wabak yang menghantui masyarakat global ketika ini.

Daripada kehidupan ibarat ‘penjara’ dengan peraturan penjarakan fizikal ketat, rakyat UK bakal menjalani kehidupan sebagaimana sebelumnya bermulanya perintah berkurung akibat wabak itu pada Mac lalu selewat-lewatnya 21 Jun ini.

BORRIS JOHNSON

Semuanya hasil pelan keluar daripada perintah berkurung coronavirus secara berperingkat yang dilaksanakan kerajaan selain dibantu kadar pemberian vaksin yang pantas serta kerjasama rakyat mematuhi arahan kerajaan.

Sejak Disember tahun lalu hingga sekarang, lebih 50 juta vaksin Covid-19 telah diberikan kepada rakyat UK dengan 35 juta rakyat telah mendapat dos pertama vaksin ketika 18 juta penduduknya telah mendapat suntikan kedua-dua dos vaksin.

Sedar pemberian vaksin sahaja tidak memadai, UK memperkenalkan empat pelan keluar daripada perintah berkurung coronavirus secara berperingkat yang bermula Mac lalu dan mengambil masa lima minggu sebelum ia dapat dipinda ke langkah seterusnya.

Pawagam dibenarkan dibuka semasa pelan keluar daripada perintah berkurung coronavirus peringkat ketiga.

Menariknya, bagi melaksanakan pelan itu, kerajaan tidak terikat pada tarikh sebaliknya data agar jika berlaku peningkatan kes, ia tidak memberi kesan kepada sistem kesihatan kebangsaan.

Hanya setelah kerajaan berpuas hati adalah selamat untuk berpindah kepada langkah berikutnya, barulah keputusan muktamad dibuat.

Namun, keputusan itu tertakluk kepada empat penilaian kerajaan iaitu, kejayaan program pemberian vaksin dan bukti menunjukkan vaksin berkesan mengurangkan jumlah pesakit di hospital selain kadar kematian terhadap penerima vaksin.

Selain itu, keputusan kerajaan juga tertakluk kepada kadar jangkitan agar tidak memberi risiko kepada penempatan katil hospital yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan kebangsaan dan penilaian risiko secara asasnya tidak berubah dengan kebimbangan varian Covid-19 baharu.

Kelmarin, Perdana Menteri Britain, Borris Johnson dalam sidang medianya mengumumkan UK akan menjalani  pelan keluar daripada perintah berkurung coronavirus peringkat ketiga bermula 17 Mei ini selain menurunkan tahap ancaman Covid-19 kepada tahap tiga.

Malah beliau membayangkan UK akan keluar dari mimpi ngeri Covid-19 dan hidup tanpa penjarakan fizikal pada 21 Jun ini.

Pelajar dibenarkan ke sekolah tanpa memakai pelitup muka.

Menerusi pelan itu, rakyat Britain akhirnya dibenarkan berjumpa dua keluarga di rumah, berpelukan antara rakan dan ahli keluarga, berhimpun di luar sehingga 30 orang termasuk menghadiri majlis kahwin dan lebih menggembirakan apabila dibenarkan keluar negara melancong.

Selain itu, had jumlah mereka yang dibenarkan menghadiri majlis pengebumian ditarik balik selain pawagam, muzium dan hotel dibenarkan dibuka semula.

Bagi warga emas di rumah jagaan orang tua, pelaksanaan peringkat ketiga itu memberi mereka kelegaan apabila dibenarkan menerima kunjungan lima orang tetamu.

Malah, sukan dalam dewan, kelas latihan boleh diadakan semula ketika murid tidak perlu lagi memakai pelitup muka semasa berada di sekolah.

Selain itu, pembukaan kelab malam dan perhimpunan melebihi 30 orang masih dilarang sehingga Johnson mengumumkan pelaksanaan langkah keempat dan pelan terakhir yang dijadual dilaksanakan pada 21 Jun depan.

Bagaimanapun, Johnson dilihat enggan ‘mendabik dada’ mempercepatkan pelaksanaan langkah keempat sekali gus memberi kelonggaran kepada perintah berkurung dengan mendakwa kerajaan perlu menilai situasi semasa sebelum membuat lebih banyak perubahan.

Malah, beliau terus mengingatkan masyarakat kekal waspada akan risiko peningkatan semula kes dan ancaman varian lain.  

Perdana Menteri itu turut merakamkan penghargaannya kepada orang awam atas komitmen mereka kerana menurutnya, kadar jangkitan Covid-19 di seluruh UK berada paras terendah sejak Julai lalu selain kadar kematian sifar di England.

Selain itu, Ketua Kesihatan UK berkata, kemasukan pesakit ke hospital dan kematian jatuh secara konsisten sejak beberapa bulan lalu dengan langkah penjarakan fizikal dan kadar pemberian vaksin menyumbang kepada faktor itu.

Jelas, Malaysia yang sedang berdepan peningkatan kes harian Covid-19 perlu mempelajari sesuatu daripada keadah pelaksanaan perintah berkurung UK yang dilihat lebih sistematik dan berkesan.