polis rampas dadah
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

KEBETULAN atau sebaliknya? Namun begitu, itulah hakikat yang berlaku apabila jumlah permohonan rentas negeri atau daerah diterima Polis Johor dari tempoh 5 Mei sehingga hari ini adalah sebanyak 25,222 permohonan.

Hanya dalam tempoh seminggu ini, jumlah permohonan itu meningkat sebanyak 66 peratus atau 10,022 permohonan berbanding 15,200 yang diterima antara 28 April hingga 4 Mei lalu.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 24,693 daripada keseluruhan permohonan sepanjang minggu ini telah diluluskan manakala hanya 529 ditolak.

Menurut Ayob Khan, sebanyak 358 kenderaan telah diarah patah balik antara tempoh 1 Mei hingga semalam kerana cuba merentas daerah atau negeri.

Bagi tempoh yang sama, kata Ayob Khan, polis Johor telah mengeluarkan sebanyak 129 kompaun.

“Saya ingin ingatkan bahawa polis sememangnya lebih perketatkan penelitian terhadap permohonan rentas negeri dan daerah sypaya tidak ada individu atau pihak yang boleh mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan permohonan ini.

“Ada juga antara yang kita tahan sebelum ini sebab tiada surat kebenaran rentas negeri atau menggunakan surat yang lama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Larkin, hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Tahan dan kompaun saja…Dah banyak sangat bagi nasihat, amaran” – Ayob Khan kesal masih ramai langgar SOP

Dalam pada itu, bagi memperkasakan lagi penugasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor, Ayob Khan berkata, polis Johor telah meningkatkan lagi sekatan jalan raya (SJR) kepada 50 daripada 35 sebelum ini.

Katanya, ia merangkumi 39 SJR yang didirikan di seluruh negeri pada susur keluar masuk lebuh raya, sempadan negeri dan sempadan daerah.

Beliau berkata, satu SJR PKP Diperketatkan (PKPD) telah didirikan di daerah Kluang, lapan SJR untuk tugas Op Benteng dan dua SJR secara bergerak dilaksanakan di daerah Johor Bahru Selatan.

Kata Ayob Khan, sebanyak 767 petugas ditempatkan di kesemua SJR berkenaan dengan kerjasama kekuatan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Sebanyak 260 pasukan pemantauan dan 170 kenderaan rondaan bergerak (MPV) telah bertugas secara aktif bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Keanggotaan pasukan pemantauan di setiap daerah dalam JOhor ini turut mencakupi jaringan kolaborasi antara jabatan dan agensi lain dengan jumlah keanggotaan pasukan pemantauan yang diatur gerak adalah seramai 1,420 orang,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram